Ni jaminan Najib tentang GST buat rakyat Malaysia.. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula April 2015 tidak akan membebankan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa sistem percukaian itu yang diguna pakai kira-kira 90 peratus negara di dunia perlu dilaksana di Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan dan berkembang kukuh.
Beliau berkata kerajaan tidak melaksanakan sistem percukaian GST secara terburu-buru, malah ia telah dikaji kerajaan sejak 30 tahun dahulu dan yakin ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
“Yakinlah, saya tidak akan susahkan rakyat Malaysia. Saya sebagai pengerusi Barisan Nasional tidak akan menyusahkan rakyat kerana kerajaan berdiri atas sokongan rakyat,” katanya ketika menutup majlis Penerangan Perdana GST di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada September 2014..
Tapi akhirnya... terbukti jaminan Najib tu langsung tak boleh pakai..
Kini bukan sahaja rakyat dari kelas pekerja atau pertengahan mengakui bahawa peningkatan menggila kos sara hidup adalah akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana pemimpin UMNO sendiri turut mengakuinya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Adun Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dilaporkan media sebagai berkata:
“Bagi saya, pelaksanaan GST agak terburu-buru dan saya bertanggungjawab pada kenyataan ini. Andaian kerajaan bila adanya GST, kita fikir pekedai dan pemborong turunkan harga barang dan pengguna untung…Tapi sebaliknya ia tak berlaku”.
Sehubungan itu, menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, ‘keluhan’ dan kenyataan terbuka pemimpin UMNO itu jelas bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa GST tidak akan memberi kesan kepada rakyat.
Malah, katanya, kerajaan UMNO-BN tidak pernah beriltizam untuk membantu meringankan beban rakyat dengan mengambil langkah memansuhkan cukai yang membebankan itu.
Sebelum ini, Najib sering mempertahankan cukai kadar itu untuk yang miskin dan kaya yang mula diperkenalkan pada April tahun lalu itu dengan alasan pendapatan negara rendah ekoran penurunan harga minyak mentah dunia yang mengakibatkan pendapatan negara berkurangan, justeru GST perlu dilaksanakan.
“Saya yakin kebanyakan ahli UMNO tidak setuju dengan pelaksanaan GST seperti Shakar tetapi mereka tak berani suarakan isu ini sebab takut diambil tindakan oleh Najib dan hilang punca ‘rezeki’ mereka.
“Namun, komen Sharkar tiada pengaruh langsung, sebab budaya UMNO adalah ‘Presiden bersamaan dengan UMNO’ dan yang lain (pemimpin selain Presiden) tidak penting.
“Buktinya adalah apabila Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri” kata Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut. – Roketkini.com