BN Menang Jika Bertanding Tiga Penjuru – Tuan Ibrahim


“Parti pembangkang yang tidak sudi membantu Pas, janganlah ambil sikap menyusahkan sambil memudahkan kerja Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan pada kedua-dua pilihan raya kecil (PRK) ini nanti.”

Itu pesanan Timbalan Presiden Pas, Tuan IbrahimTuan Man kepada kumpulan parti pembangkang lain di laman facebook miliknya hari ini.

“Saya percaya tiada pembangkang yang mahu melihat BN memenangi kedua-dua PRK ini, iaitu Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sepertimana yang berlaku di Sarawak.

“Kemenangan BN di Sarawak memang jelas disebabkan terlalu banyak parti yang bertanding menyebabkan pertempuran hanya sengit di kalangan parti pembangkang sahaja.

“Akhirnya, BN yang menang dan semua parti pembangkang terpaksalah berputih mata,” katanya.

Jelasnya, satu cara hendak menjadikan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai pertempuran sengit hanyalah pertandingan satu lawan satu antara Pas dan BN.

“Semua parti pembangkang tahu kedua-dua kerusi ini memang secara tradisi calonnya adalah daripada parti Pas pada setiap pilihan raya.

“Tapi kalau ada juga pembangkang yang nak bertanding, ia hanya akan menyusahkan Pas dan sekaligus memudahkan kerja kempen BN untuk menang seperti di Sarawak,” ujarnya.

Tuan Ibrahim berharap, kalaupun tidak mahu membantu kempen Pas, biarlah PRK ini menjadi medan pertempuran antara Pas dan BN sebagaimana sebelumnya. -- MalaysiaGazette



Previous Post Next Post