Seramai 116,836 orang tidak dibenarkan ke luar negara kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai pendapatan mereka berjumlah hampir RM2.6 bilion, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Menurutnya, seramai 9,665 lagi dikenakan sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan tunggakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) berjumlah hampir RM150 juta.
“LHDNM mengambil maklum bahawa ramai dalam kalangan pembayar cukai telah membuat perancangan untuk bercuti di musim perayaan ini, justeru bagi mengelakkan kerugian tiket penerbangan dan kos perjalanan adalah lebih baik mereka membuat semakan status sekatan perjalanan mereka terlebih dahulu dan menjelaskan tunggakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 11 Jun lalu, penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat dihalang di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika berlepas ke Brisbane, Australia untuk menyertai siri perlawanan persahabatan di Kepulauan Oceania.
Khairul Fahmi terpaksa ditinggalkan untuk menyelesaikan urusan tunggakan cukai pendapatan dan tidak diturunkan untuk menentang Papua New Guinea.
Jabatan Imigresen Malaysia berkata ia hanya menurut arahan LHDNM dan mahkamah menyekat individu daripada ke luar negara lapor FMT