Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar menegaskan RM90 juta yang dikaitkan dengan parti Islam itu tiada tandingan langsung dengan nilai sebenar pengorbanan ahli parti tersebut.
Malah katanya, nilai wang ringgit itu ditambah dengan Putrajaya sekalipun sebagai habuan tidak berbaloi jika dibandingkan dengan reda ALLAH SWT yang menanti atas perjuangan mereka.
“Tak berbaloi RM90 juta itu dengan pengorbanan ahli, RM90 juta tu bukan bandingan langsung. Semua ahli Pas tak pandang semua itu, kecuali orang yang diresapi hatinya dengan hasutan syaitan supaya menjual perjuangannya.
“Pas dah membayar dengan harga yang tidak ternilai, demi membeli tawaran dari ALLAH, bukan sahaja duit malahan nyawa demi perjuangan Islamnya dan kerana menuntut redaNYA. Apalah sangat 90 juta dan Putrajaya tu jika dibandingkan dengan reda ALLAH.
“Pas tak terliur pun RM90 juta itu, sebagaimana Pas tak terliur dengan Putrajaya yang tidak melaksanakan Islam. Kalau dapat duit tak dapat reda ALLAH, semua tak bernilai di sisi ALLAH. Reda ALLAH bukan boleh jual beli, bukan boleh tebus dengan harta,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Pas dikaitkan dengan wang sebanyak RM90 juta yang didakwa diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam usaha merayu agar Pas menjauhi gabungan pembangkang yang sedang dalam perancangan.
Namun Pas menafikan dakwaan tersebut dan bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas tuduhan yang dibuat sebuah portal itu.
Dalam pada itu, Rosli menegaskan ahlinya tidak berjuang dalam Pas kerana wang ringgit kerana sesiapa yang berjuang atas nama duit, mereka tidak akan bertahan lama dalam Pas.
“Lambat laun akan lari juga tinggalkan Pas sebab yang ditunggu tak kunjung tiba. Dalam Pas ada orang kaya dan ada orang miskin. Orang yang kaya biasanya masuk Pas setelah dia kaya, bukan dia kaya kerana dapat keuntungan dari Pas, malahan harta kekayaannya dihabiskan untuk perjuangan Pas.
“Orang miskin pun begitu, bukan dia miskin setelah masuk Pas, biasanya memang dia dah sedia miskin, namun walaupun dia tahu masuk Pas tak jadi kaya, dia tetap juga berjuang dan berkorban apa yang mampu bersama Pas kerana dalam Pas banyak peluang untuk menabung bagi merebut kekayaan akhirat,” katanya lapor Sinar