Akhirnya ahli parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan membayar RM10,000 kepada ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah.
Menurut pegawai khas undang-undang kepada Lim Guan Eng, Raja Syarafina Raja Shuib, Nasrudin telah memaklumkan bahawa beliau telah mendepositkan wang sebanyak RM10,000 ke dalam akaun peguamnya.
"Peguam YB Nasrudin akan mengeluarkan cek untuk jumlah RM10,000 pada 14.10.2016 sebagai penyelesaian kos seperti yang diperintahkan Mahkamah yang Mulia menerusi Penghakiman Persetujuan bertarikh 18.1.2016.
"Perintah penghakiman persetujuan tersebut telah mengarahkan YB Nasrudin menarik balik artikel fitnah terhadap YAB KM Lim Guan Eng dan menzahirkan kekesalan beliau atas artikel tersebut serta membayar kos sebanyak RM10,000," kata Raja Syarafina dalam satu kenyataannya hari ini.
Menurut beliau, setakat 12.10.2016, Nasrudin telah menzahirkan kekesalan beliau dan menarik balik artikel fitnah tersebut tetapi belum membayar kos sebanyak RM10,000.
Namun, katanya, peguam beliau telah menyatakan bahawa kelewatan seminggu oleh Nasrudin harus dimaafkan.
"Walaupun terdapatnya kelewatan penerimaan jumlah kos tersebut, YAB KM sanggup memaafkan beliau memandangkan YB Nasrudin bersedia membuat bayaran dan mematuhi Perintah Penghakiman tersebut sepenuhnya. Kami berharap ia akan terjumlah sebagai pengakhiran episod ini," katanya.
Nasrudin yang telah disaman oleh Lim Guan Eng telah bersetuju untuk menyelesaikan kes itu dengan menyatakan kekesalan dan membuat aku janji membayar RM10,000 kos kepada setiausaha agung DAP itu.
Namun sehingga tarikhnya tamat baru-baru ini, Nasrudin tidak menunaikan janji membuat bayaran itu.
Ekoran itu, Raja Syarafina telah membuat satu kenyataan mengenai kegagalan ketua penerangan Pas itu yang menimbulkan suasana berbalas kenyataan antara mereka.
"Berdasarkan sedemikian, cukup untuk saya menegaskan di sini bahawa saya tidak akan dan tidak berminat melayan keluhan beremosi yang berputar keliling isu-isu utama menerusi retorik kosong dan serangan bersifat peribadi yang tidak wajar," kata pembantu Lim Guan Eng itu dalam kenyataannya hari ini lapor Malaysiadateline