Bekas veteran Umno Mohd Tamrin Ghafar menyarankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya berhenti menggunakan label menghina ke atas musuh politiknya, selepas kenyataan presiden PAS itu yang menyamakan cara pembangkang menegur kerajaan umpama “keldai” dan “anjing gila”.
“Bukan sekali Abdul Hadi bermulut celupar begitu. Bahkan pelapisnya seperti Nasrudin Hassan (Ahli Parlimen Temerloh) pun pernah menyebut tentang siku dan lutut menggambarkan pendekatan politik samseng pemimpin parti yang kononnya Islam itu,” kata Tamrin, anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, dipetik portal pro-Amanah, Malaysia Dateline hari ini.
Hadi pada Selasa menyeru ahli PAS supaya bertindak menggunakan “cara Islam”, 4 hari selepas wakil rakyat pembangkang keluar Dewan Rakyat ketika ucapan Bajet 2017 oleh Datuk Seri Najib Razak.
Hadi tidak hadir tetapi ahli Parlimen PAS yang berada di Dewan, kecuali Datuk Mahfuz Omar, kekal di kerusi masing-masing.
“Kepada semua ahli PAS termasuk para pemimpin khususnya yang menjadi Ahli Parlimen dan Adun supaya beristiqamah dengan cara Islam yang berpijak di atas landasannya dan jangan berlagak seperti keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya,” kata Hadi dalam kenyataan yang sarat dengan petikan ayat Al-Quran.
Tamrin bagaimanapun berkata Hadi dan pimpinan PAS perlu “perbetulkan diri sendiri daripada terus menganggu fokus rakyat untuk menumbangkan Umno-BN yang dikepalai Najib”.
“Pas perlu betulkan rumah tangga dulu, usah sibuk sangat menghukum orang lain dengan gelaran binatang seperti itu,” tambahnya.
“Cukup-cukuplah Hadi. Kamu patut teropong diri sendiri. Usah asyik meletakkan kelemahan dan kesalahan sendiri pada orang lain. Jangan jadi bapa ketam yang masih mahu mengajar anaknya berjalan lurus.”
Tahun lalu, Nasrudin ketika berucap pada muktamar ke-61 memberi amaran kepada DAP tidak mencabar PAS.
“Walaupun kami dari Dewan Ulama yang rata-ratanya memakai kopiah, serban, berjubah, tetapi ingat dalam jubah ini ada siku dan lutut yang masih kita belum guna lagi,” katanya lapor FMT