Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 19 lagi anggota Jabatan Air Sabah dan merampas RM2.4 juta dalam bentuk tunai, lapor akhbar China Press.
Tangkapan dan rampasan aset itu dikatakan berlaku semalam di pelbagai lokasi di seluruh Sabah.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar itu berkata, beberapa daripada mereka yang ditahan menerima sogokan antara 27 hingga 30 peratus bagi projek yang dianugerakan oleh jabatan berkenaan.
China Press memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa tangkapan dibuat tetapi tidak memberikan butirannya sementara menunggu siasatan.
Walau bagaimanapun, Azam berkata siasatan setakat ini tidak membabitkan sebarang tokoh politik peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Oleh itu beliau menggesa orang ramai supaya tidak menjadikan siasatan kes itu sebagai perkara politik.
Awal bulan ini, SPRM menahan seorang pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah dan merampas lebih RM100 juta dalam bentuk tunai.
Kedua-dua mereka disiasat kerana menyalahgunakan kuasa alam pemberian projek pembangunan kepada syarikat yang akhirnya dikaitkan dengan mereka.