Felda Dilapor Akan Menjual Lebih Banyak Aset


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bakal meneliti kemungkinan menjual aset luar negara yang tidak menjana keuntungan bersesuaian dengan pasaran.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, berkata langkah itu perlu diambil untuk mengimbangi aliran kewangan FELDA dan beberapa anak syarikat lembaga berkenaan yang sebelum ini dilaporkan mengalami siri kerugian.

"Semua aset di luar negara akan diteliti semula dan kita akan jual jika taksiran menunjukkan ia tidak mampu menjana keuntungan seperti diharapkan, sekali gus memberi bebanan kewangan tambahan kepada FELDA.

"Setakat ini, kita sudah putuskan untuk menjual aset hotel FELDA di London kerana nilainya mengalami penyusutan mendadak," katanya pada sidang media khas di Menara FELDA, di Kuala Lumpur.

Shahrir berkata, pencairan aset hotel di London itu dijangka menjana pulangan antara RM500 juta hingga RM1 bilion, manakala penjualan pegangan saham FELDA di Maybank mampu meraih RM280 juta.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan bahawa penjualan pegangan saham Maybank itu adalah untuk menampung pembiayaan dalam membeli 37 peratus ekuiti firma Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

"Ia hanya spekulasi. Kita tidak akan gunakan duit daripada penjualan saham Maybank untuk menyokong pembelian EHP.

"Peruntukan ini akan digunakan untuk membiayai kos pengurusan yang menjana manfaat peneroka, selain mengimbangi aliran kewangan FELDA dan anak syarikat," katanya.

Shahrir berkata, penjajaran semula kepemimpinan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) akan ditentukan menerusi perbincangan lembaga pengarah selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau berkata, hala tuju Felda Global Ventures (FGV) pula akan dinilai semula secepat mungkin dan proses berkenaan dijangka mengambil tempoh antara enam hingga lapan bulan.

"FGV ada fokus tersendiri, manakala FELDA akan memberi tumpuan kepada menjaga hal ehwal peneroka, selain menguruskan aset dan pelaburan di dalam serta luar negara," katanya lapor Berita Harian di SINI



Previous Post Next Post