USAHA kerajaan menghapuskan rasuah dalam sistem negara juga akan melibatkan “pembersihan” pasukan polis, lapor akhbar The Straits Times.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun akan disingkir dan tiga jabatan sarat korupsi akan ditutup, kata laporan itu yang memetik sumber tidak dinamakan.
Sumber itu mendakwa Cawangan Khas (SB) sudah menghantar tiga nama untuk mengganti Fuzi yang dilantik Najib Razak.
Tiga jabatan yang dijangka ditutup adalah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme, Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang dan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik, dakwa sumber tersebut.
Menurut sumber berkenaan, tiga jabatan itu disyaki melindungi penjenayah.
Selain itu, ramai juga pegawai kanan akan disingkir, kata sumber. “Ya, akan ada gempa 8.5 skala Ritcher (dalam pasukan polis) berlaku pada Julai,” kata sumber itu.
Ditanya siapakah yang akan pertama sekali disingkirkan, sumber menjawab: “No. 1”, merujuk kepada Fuzi.
Sumber tidak menyatakan bilakah Fuzi akan diganti, tetapi menamakan dua calon yang berkemungkinan besar jadi penggantinya- Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Acryl Sani Abdullah Sani.
Noor Rashid, 60, adalah ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sebelum dilantik jadi timbalan ketua polis negara.
Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Fizik dari Universiti Malaya. Acryl Sani pula pernah menjadi ketua polis Sarawak dan Perak serta ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Sumber tidak menyebut nama ketiga yang dihantar.
Beberapa pegawai tinggi pula akan disingkir kerana “tidak bersih”, kata sumber.
“Ada antara mereka ada kekayaan melampau…tidak masuk akal bagaimana mereka ada banyak kereta mewah serta tinggal di banglow.
“Ada yang salah guna kuasa- salah seorang salah guna kuasa bila jadi ketua jabatan dengan guna khidmat kereta pengiring. Dia tidak layak (ketika itu),” kata sumber.
Sebilangan yang lain pula perlu berundur kerana dianggap bersekongkol dengan Najib, kata sumber itu lagi lapor The Malaysian Insight