SHAH ALAM: Sekumpulan 11 lelaki disyaki terbabit kegiatan menggodam sistem komputer kerajaan, ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di seluruh negara, semalam.
Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang melakukan risikan dan intipan sejak minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kesemua suspek diberkas itu berumur antara 22 hingga 40 tahun, termasuk individu disyaki pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia.
"Tangkapan dibuat berikutan kumpulan terbabit disyaki membuat ugutan serta ancaman untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu. Setakat ini, enam laporan polis diterima di seluruh negara.
"Ketika ini, polis masih menjalankan siasatan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki-baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekatan Jalan Raya di Plaza Tol Setia Alam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, kesemua suspek itu disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.
"Semua suspek itu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.
Sementara itu berdasarkan maklumat diperoleh, suspek ditahan turut disyaki melakukan pencerobohan terhadap tiga sistem kerajaan Johor, Sabah serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Sumber: BH
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!