Khairy Tampil Betulkan Kesalahan Fakta Di Ruang Komen FB Najib


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyangkal kenyataan Facebook yang dimuat naik Datuk Seri Najib Razak, berhubung pemberian vaksin yang didakwa tidak menepati sasaran.

Khairy tampil menjawab kenyataaan itu di ruangan komen Facebook Najib berkata, perbandingan dengan Singapura, seperti yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu, tidak adil kerana tidak mengambil kira jumlah hari program vaksinasi berlaku.

Salam Dato' Sri. Terima kasih kerana sering menyentuh soal vaksinasi COVID-19. Tapi ada beberapa perkara yang ingin saya jawab disebabkan ada kesalahan fakta dalam post Dato' Sri ini.

- Kadar suntikan 
Untuk makluman Dato' Sri dan semua pembaca, lebih 90% kumpulan penerima vaksin Fasa 1 adalah terdiri daripada petugas barisan hadapan. Kumpulan ini terikat dengan tugas hakiki mereka seperti kakitangan kesihatan, polis dan tentera. Justeru, pemberian vaksin kepada golongan ini perlu diberikan secara berperingkat bagi memastikan tugasan hakiki kumpulan ini tidak terganggu.

Jangkaan sehingga 160,000 dos vaksinasi sehari adalah untuk Fasa 2 dan 3 apabila lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin dan jumlah vaksinator ditambah dalam fasa ini. 
Seperti yang saya umumkan sebelum ini, kita akan menerima sekitar satu juta dos vaksin sahaja pada suku pertama tahun ini. Kadar suntikan akan meningkat apabila masuk suku kedua 2021 apabila lebih banyak jenis vaksin diluluskan NPRA dan penghantaran vaksin daripada pembekal akan menjadi lebih kerap.

Jumlah 160,000 ini juga mampu dicapai apabila beberapa kumpulan yang telah membentuk kluster sebelum ini turut diberikan vaksin seperti kluster penjara dan banduan serta kluster tempat kerja.

- Perbandingan negara

Sehingga 1 Mac 2021, jumlah dos vaksin yang telah diberikan di Singapura adalah sebanyak 525,039. Singapura telah memulakan program vaksinasi mereka pada 8 Januari. Secara purata, untuk tempoh 53 hari daripada hari pertama sehingga 1 Mac, jumlah dos yang diberikan di Singapura adalah sebanyak 9,906 sehari.

Manakala untuk Malaysia, sehingga semalam, sejumlah 166,363 dos sudah diberikan. Ini menjadikan purata dos diberikan sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu (13 hari sehingga semalam - bukanlah 3 minggu seperti yang Dato' Sri tulis) adalah sebanyak 12,797 dos sehari.

Jadi perbandingan yang dibuat Dato' Sri adalah tidak adil apabila tidak mengambilkira jumlah hari program vaksinasi telah berlangsung. Jika mengambil kira jumlah hari, ternyata purata harian vaksinasi di Malaysia adalah lebih tinggi daripada Singapura.

- U-Turn Penglibatan Klinik/Hospital Swasta

Untuk makluman Dato' Sri, kerajaan tidak pernah membuat u-turn apabila pengumuman penglibatan pihak swasta dibuat semalam.

Daripada awal lagi, PICK telah merancang untuk melibatkan perkhidmatan kesihatan swasta. Ini turut dinyatakan dalam buku panduan PICK. Mungkin Dato' Sri belum membaca sampai habis buku panduan ini.

Saya juga telah menyatakan perkara ini berulangkali sama ada menerusi program penerangan, siaran akhbar mahupun ketika sidang media. Dato' Sri boleh Google jika Dato' Sri ada terlepas pandang.

- Pembelian Vaksin oleh Pihak Swasta

Kerajaan juga tidak pernah menghalang sekiranya ada pihak swasta hendak mendapatkan bekalan vaksin daripada mana-mana pengeluar. Walau bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan pengeluar vaksin hanya mengadakan rundingan bersama pihak kerajaan.

Saya juga ingin menyatakan, apa-apa jenis vaksin yang hendak digunakan di Malaysia perlu mendapat kelulusan NPRA. Saya difahamkan, sehingga kini tiada permohonan telah diterima oleh NPRA daripada pihak swasta untuk mendaftarkan apa-apa jenis vaksin.

- Pemberian vaksin secara pandu lalu

Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) ketika ini sedang mempertimbang kertas kerja pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu. Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM). 

Jadi jangan khuatir, perancangan ini sememangnya telah ada. Cumanya ia perlu diberi perincian tertamanya dalam soal logistik dan kesan AEFI memandangkan setiap vaksin COVID-19 mempunyai protokol pengendalian yang berbeza-beza.

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Dato' Sri. Semoga jawapan yang saya sertakan ini membantu menambah pemahaman Dato' Sri tentang pelaksanaan PICK. 

Saya juga akan mengadakan suatu taklimat khas berkenaan PICK kepada Ahli Parlimen tidak lama lagi. Jemputan akan diedarkan dan saya berharap Dato' Sri dapat hadir pada sesi taklimat itu nanti.

Penjelasan itu mendapat lebih dari 10,000 tanda 'like' hinggs kini, selepas Khairy memuat naik komen berkenaan di Facebook Najib.

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post