
PETALING JAYA: Vendor yang dilantik oleh Jabatan Imigresen telah bertindak sebagai klon jabatan itu apabila mencuri dan memanipulasi data di dalam sistem mereka untuk mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Kegiatan yang diketuai seorang lelaki bergelar Datuk itu mampu mengaut keuntungan dianggarkan RM500 juta hingga RM600 juta sejak tahun lalu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Utusan Malaysia, dianggarkan ratusan ribu kad PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket klon itu dengan bayaran antara RM6,000 sehingga RM8,000 bagi setiap kad.
Jelas sumber itu, sindiket berkenaan ibarat ‘kaunter pintu belakang’ dengan menyasarkan syarikat atau warga asing yang mahu mendapatkan PLKS palsu pada bayaran tertentu.
Katanya, sindiket terbabit mengambil kesempatan daripada tanggungjawab menguruskan pangkalan data milik Jabatan Imigresen untuk menggodam sistem bagi membolehkan mereka mencetak PLKS palsu bagi dijual kepada warga asing.
“Sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status ‘senarai hitam’ atau red alert mana-mana warga asing yang terlibat dalam apa-apa kesalahan imigresen atau jenayah untuk membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang.
“Sindiket ini dipercayai menggunakan ‘orang dalam’ dengan memasang ‘pemancar’ di bilik komputer Jabatan Imigresen bagi memudahkan mereka menggodam dengan menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat jabatan berkenaan.
“Setelah mereka berjaya memasuki sistem tersebut, sindiket ini kemudiannya akan memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah yang dikeluarkan Jabatan Imigresen,” katanya di sini semalam.
Kata sumber, bagi melancarkan kegiatan itu, sindiket dipercayai beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail.
“Mereka juga sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.
Terdahulu, lima individu termasuk seorang Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur sejak awal pagi semalam.
Kesemua mereka berusia antara 33 tahun hingga 43 tahun telah ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen sejak setahun yang lalu.
Malah, isu tersebut pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
“Siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya.
“SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini,” katanya.
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!