Pesan Motosikal.. Dapat Basikal Harga Kereta



PESAN motosikal, dapat basikal, bayar harga kereta... Inilah antara yang masih berlaku di dalam kontrak kerajaan apabila kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan kartel.

Masih tidak serik pakai gelang besi baju oren malah kegiatan rasuah dalam kontrak kerajaan masih berlaku.

Beberapa hari lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

Penahanan individu terbabit termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun itu dipercayai melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.

Kartel terbabit memonopoli sebanyak 345 tender, mengawal lebih 150 buah syarikat daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan untuk memasuki tender atau sebut harga di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak tahun 2014 sehingga sekarang.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, SPRM menahan Pegawai Kanan, Jurukur Bahan agensi kerajaan berusia 38 tahun dipercayai membocorkan makumat speksifikasi projek kerja-kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) kepada ketua sindiket bagi memudahkan penyediaan dokumen-dokumen tender.

Kegiatan memanupulasi tender di jabatan kerajaan sudah lama berlaku. Namun tiada tindakan dalaman diambil oleh ketua jabatan yang bertanggungjawab.

Semasa pandemik dan darurat ini banyak peraturan biasanya dilonggarkan. Yang paling merbahaya apabila kontrak diberikan secara rundingan terus jatuh pula kepada kartel yang mempunyai hubungan baik dengan orang dalam atau tali barut yang sentiasa tamak mahu cepat kaya dan hidup mewah.

Kegiatan fraud atau penipuan ini hanya boleh berlaku apabila ada kerjasama di antara orang dalam dan syarikat yang terbabit.

Orang dalam akan dikenal pasti bersama kelemahan-kelemahan yang ada pada pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa untuk meluluskan kontrak tertentu.

Sebagai manusia, ada di antara kita yang lemah dengan harta, takhta atau wanita. Kartel akan memenuhi apa sahaja kehendak mereka.

Apabila terjerumus di dalam masalah ini maka maruah akan tergadai.

Maklumat dan speksifikasi akan dibocorkan oleh pegawai yang bertanggungjawab, malah pegawai atasan sendiri juga sanggup memberikan kontrak kepada kartel atau kroni yang telah mereka berpakat serta menerima rasuah.

SPRM mengenal pasti 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku di dalam sistem perolehan melibatkan pegawai-pegawai yang diberi amanah berkaitan urusan perolehan dan perbekalan.

Ia termasuk menerima komisyen antara lima hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat-syarikat yang berjaya.

Kartel boleh memberi rasuah kerana harga kontrak telah dinaikkan sehingga 30 peratus.

Orang dalam membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kartel atau kontraktor tertentu supaya mereka dapat memenangi tender sesuatu kontrak.

Modus operandi ini juga popular bila ada pihak yang menciplak kertas cadangan yang dikemukakan oleh pihak lain dan kemudian memberikannya kepada syarikat tertentu.

Itu memberi implikasi yang buruk kepada syarikat lain.

Terdapat pegawai yang sengaja meminta syarikat-syarikat tertentu memasuki sebutharga dengan harga yang lebih tinggi.

Ada syarikat sengaja mencipta sebutharga dengan menggunakan kepala surat atau profil syarikat-syarikat tertentu sedangkan syarikat tersebut tidak tahu-menahu mengenainya dan berpakat dengan syarikat pembekal untuk mendapatkan sebutharga lima syarikat yang lain sebagai syarat mematuhi peraturan.

Walaupun Malaysia telah mengamalkan e-perolehan, namun pada akhirnya manusia juga yang akan menerima dan memproses permohonan kontrak tersebut.

Di sinilah akan berlakunya manupulasi dan sabotaj supaya hanya syarikat kartel atau kroni akan disenaraipendek termasuk syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama.

Keberangkalian untuk ditawarkan kontrak sangat besar.

Sepatutnya ketua-ketua jabatan bertanggungjawab ke atas semua kontrak yang ditawarkan kepada syarikat yang berwiabawa.

Due diligence yang komprehensif patut dilaksanakan termasuk menyemak semula dokumen kewangan dan mengesahkan keupayaan projek lalu yang dijalankan oleh sesuatu syarikat.

Bila isu rasuah telah menjadi amalan dan darah daging mereka, sudah tentu ia terjadi sebaliknya.

Tangan diikat dan mulut terpaksa ditutup hingga menjadi lemah, mereka dibela dan dijaga oleh kontraktor, apabila duit kopi dapat bertimbun timbun projek tidak diawasi dengan baik.

Adakalanya kontrak merupakan contractor driven di mana kontraktor sendiri yang membawa kertas cadangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan.

Sudah tentu pegawai yang perasuah dan tiada integriti akan mengambil peluang keemasan untuk bertindak dengan mencari bajet.

Pembudayaan rasuah di dalam perolehan kerajaan dengan sikap tidak ambil peduli menggunakan wang kerajaan.

Mereka tidak peduli asalkan dapat habuan sebanyak mungkin. Sepatunya sebelum sesuatu projek atau peralatan diberi, perlu ada perancangan dan keperluan.

Oleh sebab itu banyak projek yang siap menjadi gajah putih menyebabkan ia bukan projek value for money.

Masalah besar yang dihadapi oleh sesetengah ketua jabatan atau ketua pengawal adalah ‘wahyu’ yang terpaksa dituruti, jika tidak mereka akan masuk pool iaitu dibekukan.

Masih ramai kini pegawai kerajaan dibekukan, di antaranya kerana tidak sebulu atau tidak mengikut arahan tangan ghaib daripada menteri atau timbalan menteri.

Di dalam perkhidmatan kerajaan masa depan mereka ini gelap, tercicir dalam kenaikan pangkat dan akan dilabel sebagai tidak baik dan sebagainya.

Penulis sejak tahun 2010 lagi beberapa kali mencadangan agar semua pegawai yang diletakkan di unit yang tinggi risikonya seperti kontrak kewangan mestilah ditukar setiap tiga tahun.

Tetapi pengawasan orang atasan sangat perlu selain daripada menunjukkan contoh yang baik. Ini adalah untuk mengelakkan daripada dipengaruhi oleh pihak pihak tertentu.

Amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam sistem perolehan akan mendatangkan kesan amat negatif.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat selaku pengguna, tetapi juga terhadap pegawai agensi terlibat serta di pihak kontraktor.

Malah, ia boleh merugikan masyarakat jika peralatan, perkhidmatan atau projek yang sepatutnya siap sempurna terbengkalai atau tidak wujud, menggagalkan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Rasuah akan menjadi budaya serta mencetuskan rasa tidak puas hati serta hilang kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

Sebagai pegawai kerajaan, mereka tidak boleh elak campur tangan menteri atau ahli politik tetapi mereka boleh menggunakan hak mereka untuk tidak bersekongkol jika arahan melanggar peraturan dan undang undng.

Setiap ketua jabatan perlu membentuk sistem pemantauan dan kelulusan berlapis. Ia bukan bertujuan untuk mewujudkan karenah birokrasi tetapi mengurangkan keputusan terhadap sesuatu pembelian berpusat kepada seseorang individu sahaja.

Pemeriksaan mengejut ke atas pelaksanaan projek wajar dilaksanakan bertepatan dengan konsep turun padang.

Syarikat-syarikat pembekal atau kontraktor yang gagal memenuhi syarat kontrak atau sebut harga wajib disenarai hitam dan diambil tindakan undang-undang.

Meskipun pihak berkuasa telah memperbaiki sistem dan prosedur berbanding situasi satu atau dua dekad yang lalu, memandangkan isu ketirisan masih mendapat perhatian termasuk hasil Laporan

Ketua Audit Negara, prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan kewangan terutama dari segi membezakankan kuasa budi bicara (discretion power) selalu disalahgunakan perlu diteliti semula.

Tetapi semua prosedur hendaklah dipatuhi dan tiada pengecualian.

Justeru, ketua-ketua jabatan perlu lebih bertanggungjawab, berakauntibiliti dan peka terhadap perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Tindakan tatatertib sedia ada dirasakan tidak mencukupi sehingga semakin ramai pegawai kerajaan yang ditangkap oleh SPRM.

Selepas Liabiliti Korporat, tiba masanya untuk mempertimbangkan peruntukan Liabiliti untuk Penjawat Awam.

Peruntukan “salah laku penjawat awam” dalam menangani salah laku Penjawat Awam yang mengakibatkan kerugian wang yang besar ditanggung kerajaan.

Kerajaan boleh merangka satu undang-undang yang boleh mengambil tindakan punitif terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kewangan kerajaan.

Misalnya, kerajaan Hong Kong telah melaksanakan undang-undang bagi menangani kesalahan ini yang membawa hukuman sehingga tujuh tahun penjara.

Pada 2017, bekas Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang telah mencatat sejarah di negara tersebut apabila menjadi pegawai tertinggi yang didakwa di bawah kesalahan itu.

Beliau dipenjara selama 20 bulan kerana salah laku penjawat awam.

Dalam hal ini kerjasama orang ramai juga penting bagi membolehkan SPRM bertindak dengan efektif dan bebas.

Jika setiap individu mempunyai kesedaran etika kerja, mengamalkan sikap integriti dan amanah dalam menjalankan tugas, ketirisan dapat diatasi.

Lapor dan bongkar kegiatan rasuah dalam jabatan masing masing.

SPRM melindungi pemberi maklumat secara profesional.


Datuk Seri Akhbar Satar 
Presiden, Persatuan PEMERIKSA Fraud Bertauliah

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post