Sebenarnya Kempen kibar bendera putih ini bukan dicetuskan oleh golongan politik tetapi oleh masyarakat sivil setelah melihat situasi rakyat kini yang tertekan dan mengalami tekanan perasaan sehingga mengambil tindakan tidak masuk akal.
Kempen kibar bendera putih ini digerakkan oleh rakyat adalah tanda solidariti dan keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pandemik Covid-19.Ini merupakan satu fenomena yang amat merisaukan terutama dengan kesan pandemik yang dijangka lebih mencengkam pada bulan-bulan yang akan datang.
Apa yang kita saksikan adalah manifestasi kesan pandemik kepada kesihatan mental. Bermula dengan kemurungan kerana tertekan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan seterusnya mengambil jalan keluar dengan membunuh diri.
Fenomena yang menakutkan ini memang telah dijangka. Ketua Pengarah Organisasi Kesihatan Dunia(WHO), Tedros pernah mengungkapkan bahawa “Pemimpin Dunia kena bertindak pantas
dan secara tuntas untuk memperuntukkan perbelanjaan dalam menyediakan program Kesihatan Mental demi menyelamatkan nyawa ketika pandemik atau pascanya.”
Di New Zealand, Jacinda Ardern memperuntukkan NZ$1.9 bilion untuk program rejunevasi kesihatan mental dan mutakhir mengumumkan NZ$28 juta untuk program kesihatan mental di
peringkat sekolah rendah. Kerajaan Malaysia juga telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menghadapi
permasalahan ini.
Saya tidak berminat untuk membincangkan apa yang telah dilakukan dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana itu adalah tanggungjawab mereka yang mempunyai pelbagai sumber dan kepakaran. Apa yang lebih menarik perhatian dan menyentuh perasaan ialah respons rakyat Malaysia.
Rakyat telah bersama sama tampil di hadapan dan mengambil peranan dalam menangani permasalahan sama ada dalam bentuk sumbangan keperluan harian, sokongan emosi dan memaparkan solidariti yang tidak berbelah bahagi di dalam komuniti masing-masing.
Secara sukarela, rakyat daripada pelbagai lapisan tampil dengan pelbagai kreativiti dalam keadaan sumber yang amat terhad. Mereka membuka pusat-pusat khidmat, mengedarkan pek-pek makanan, mewujudkan sistem sokongan kepada keganasan rumah tangga dan menyediakan khidmat kaunseling secara percuma.
Mutakhir sekali ialah kempen bendera putih sebagai satu gerak isyarat simbolik “saya perlu bantuan.” Tiada siapa tahu bagaimana bermulanya gerakan tersebut, namun ia didapati
mendapat sambutan yang begitu meluas dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Semua ini berlaku ketika elit politik masih lagi bergelumang dengan pendekatan parokial yang sempit, tuding menuding antara satu dengan yang lain dan berdebat isu remeh seperti sama ada parlimen perlu bersidang secara hibrid atau bersemuka.
Apakah tindakan ini memaparkan rakyat sudah sampai kepada tahap “tidak lagi memberikan harapan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka” dan sudah sampai kepada
situasi di mana “Rakyat tolong Rakyat” menjadi pilihan utama?
Dalam suasana rakyat sudah jelik dengan budaya kepimpinan politik yang dicemari dan diwarnai oleh perkauman sempit, ekstrem agama yang melampau, amalan korupsi kronik, mementingkan diri sendiri dan dipandu oleh prinsip-prinsip garis parti paroki, adakah ia satu petanda permulaan bibit-bibit untuk rakyat berganding bahu dalam satu pergerakan massa yang mewakili nadi, harapan dan visi rakyat ke arah Malaysia yang lebih baik?
Dan adakah rakyat ingin menghantar satu mesej yang jelas dan lantang bahawa masa hadapan negara tidak boleh lagi dibiarkan di tangan elit politik yang sudah tidak mampu memberikan harapan kepada masa depan negara?
Rakyat telah membuktikan kemampuan mereka setakat ini. Persoalannya, adakah usaha ini
akan mempunyai nafas yang panjang dan akhir memungkinkan perubahan yang didambakan?
Zaharudin Othman
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!