
Ipoh: Pemaju bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini, atas pertuduhan menipu berkaitan penjualan saham syarikat bernilai RM400,000 empat tahun lalu.
Tertuduh, Chin Yoon Seong, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen.
Mengikut pertuduhan, Yoon Seong didakwa menipu Lee Wan How, 36, dengan memperdayakannya melalui penjualan saham syarikat dan mendorong untuk menyerahkan harta iaitu wang tunai berjumlah RM400,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Times Square Ipoh, Jalan Raja Dr Nazrin Shah pada 6 Januari 2017.
Berikutan itu, tertuduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam bela Ram Kumar.
Afiqah Izzati menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagaimanapun Ram memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000.
Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Ogos hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes ~
myMetro
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!