‘Khemah Besar’ Itu Pandangan PKR, Bukan PH Kata Guan Eng


PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak terlibat dalam perbincangan mengenai kerjasama politik antara DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO di bawah satu ‘khemah besar’

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH sekali gus DAP tiada ketetapan mengenai perkara itu.

“Itu pendirian PKR. Dalam PH, ‘khemah besar’ yang kita maksudkan adalah keutamaan menyatupadukan semua parti pembangkang dan mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang sedia untuk menentang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menamatkan darurat dan memulakan Parlimen dengan segera.

“Kalau khemah besar untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, itu pandangan PKR, bukan PH. Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berhak menyatakan pandangan sedemikian untuk mewakili PKR,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas kenyataan Saifudin yang menjelaskan tentang keyakinannya dengan konsep ‘khemah besar’ antara PKR, DAP, Amanah dan UMNO.

“Kedudukan kerusi Parlimen PH yang menang PRU14 (sebelum insiden lompat parti) adalah DAP ada 42 kerusi dan Amanah (11). PKR asalnya menang 48 kerusi tetapi dengan kemasukan ahli Parlimen Bebas kita ada 50 kerusi.

“Jika kita tidak kira yang masuk kemudian, 48 campur 42, itu sudah 90, campur Amanah sebanyak 11 kerusi itu sudah 101. Ini bermaksud kita hanya kekurangan 11 kerusi untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi,” kata Saifuddin.

Mengulas lanjut, Guan Eng ketika ditanya adakah DAP mempunyai masalah sekiranya bekerjasama dengan UMNO nanti, beliau berkata, perkara itu akan dibincang dengan pimpinan parti yang lain.

“Itu kena bincang dalam parti dulu lah,” ujarnya ringkas.

Dalam masa yang sama, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani berkata, DAP perlu menerima hakikat jika penggabungan dengan UMNO adalah satu-satunya jalan untuk menewaskan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15.

Jelasnya, penggabungan itu dikatakan demi kepentingan rakyat yang didakwa menjadi mangsa kerajaan yang gagal menguruskan perihal rakyat termasuklah isu Covid-19.

“Memanglah belum bincang, tapi DAP kena terima. Kalau ambil kira apa yang berlaku di Perak, kita boleh bekerjasama dengan UMNO, kenapa kita tak boleh teruskan langkah kerjasama itu untuk menang pada PRU15 nanti,” soalnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Tambah Abdullah, walaupun penjajaran baharu politik itu belum dibincang, tetapi sudah diberi gambaran apa yang perlu diusahakan dari sekarang.

“Itulah sebenarnya kekuatan jajaran baru yang kita nak. Kita sangat mengalu-alukan siapa sahaja yang nak bekerjasama dengan kita, bukan sahaja UMNO malah parti-parti lain juga.

“Kenyataan konsep khemah besar itu bukan sahaja mewakili PKR, tetapi semua. Cuma belum dibincangkan lagi secara konsensus,” ujarnya lagi.- UTUSAN ONLINE

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post