Adakah Sekarang Masa Yang Sesuai Untuk Menukar Perdana Menteri?

 


BEKAS Menteri Kewangan II, DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO apabila bercakap, dikatakan biasanya berasaskan kepada fakta.

Dalam satu wawancara Jumaat lalu, beliau meluahkan apa yang terbuku bila menegaskan Malaysia amat memerlukan karakter pemimpin yang bukan sahaja mampu, bahkan perlu berani mengambil pendekatan berbeza bagi menyelesaikan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara.


Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, beliau menegaskan, hanya pemimpin berwibawa dan dihormati menjadi satu-satunya jalan keluar Malaysia daripada krisis yang membadai negara hari ini.

Berikut adalah petikan dari temu bual antara Wartawan Mingguan Malaysia dengan Bekas Menteri Kewangan II yang telah berlangsung selama sejam.

MINGGUAN MALAYSIA: Pada pandangan Datuk Seri, apa yang tidak kena dengan negara kita ketika ini?

JOHARI ABDUL GHANI: Kalau kita tengok hari ini, negara kita berdepan dengan tiga masalah kritikal. Satu, kita berdepan dengan krisis politik apabila ahli-ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan tidak menyokong kerajaan saling bertelagah antara satu sama lain. Kerana seorang mengatakan dia ada majoriti dan yang seorang lagi tak ada majoriti.

Jadi, ini menyebabkan orang melihat senario politik tidak stabil. Bila keadaan tidak stabil dari segi politik sesebuah negara, ia akan menyebabkan macam-macam benda kita susah nak buat.

Saya nak ingatkan orang-orang Melayu supaya tidak bergasak sesama sendiri sehingga yang menang jadi arang, kalah jadi abu, menang sorak kampung tergadai.

Nombor dua, dari segi krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19. Bukan sahaja kita, malah seluruh dunia juga berdepan. Tinggal lagi beza di antara sebahagian negara yang berjaya mengatasi krisis ini dengan yang tidak berjaya adalah bergantung kepada kepimpinan negara tersebut.

Kalau kita boleh mentadbir negara ini dengan penuh kewibawaan dan kita dapat menyatupadukan pemimpin-pemimpin di setiap peringkat untuk mengatasi Covid-19 ini, dan juga (mendapatkan) pandangan sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, saya rasa krisis kesihatan ini boleh ditadbir dengan sempurna.

Akhir sekali, ialah kesan daripada ketidakstabilan politik dan krisis kesihatan ini, akan melahirkan krisis ekonomi.

Krisis ekonomi ini sangat serius. Kalau kita tidak kendalikan dengan betul, dia seolah-olah macam sebuah kereta yang berjalan, tiba-tiba kita berhenti, lepas itu kita tak berjalan, kita undur ke belakang. Jadi bila kita nak menggerakkan balik ekonomi ini, ia akan menjadi satu masalah yang besar.

Jadi tiga krisis politik, kesihatan dan ekonomi berlaku dalam masa yang sama. Ini memerlukan pendekatan yang amat berbeza untuk mengatasi ketiga-tiga krisis ini.

Temubual penuh silalah baca di SINI

Jadi persoalannya di sini dalam menangani isu COVID-19 yang buat pertama kalinya melanda Dunia ini yang jelas tidak pernah dihadapi oleh mana-mana Kerajaan di dalam Dunia ini sebelum ini adakah menukar Perdana Menteri satu tindakan yang wajar?

Sejauh mana kita yakin dengan menukar Perdana Menteri isu COVID-19 ini dapat diselesaikan tanpa mendorong kepada masaalah yang lebih besar?

Kenapa tidak Ahli-ahli Parlimen sedia ada meletakkan agenda politik ke tepi buat seketika dan menggembleng tenaga untuk menangani isu ini?

Baclah pendapat Geostrategis dan Penganalisis Politik ini.


PETALING JAYA: Menukar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan orang lain bukan jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kemelut politik negara stabil.

Ini kerana, masih tiada calon Perdana Menteri dalam kalangan parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pas yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, ini jauh sekali untuk seseorang mendapat sekurang-kurangnya dua per tiga undi ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk dilantik ke dalam jawatan itu.

Malah, Pakatan Harapan (PH) pun tidak seutuh yang disangka untuk membentuk kerajaan baharu sekalipun memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Cara yang boleh diambil untuk menstabilkan situasi politik negara sekarang adalah mengekalkan status quo kerajaan sedia ada dan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri dan sokongan diberi kepada semua pihak termasuk pembangkang.

“Kedua, seseorang boleh dilantik untuk mengurus negara tetapi dengan syarat tidak berkait dengan unsur politik. Memang peranan Perdana Menteri itu penting dalam memberi arah tuju negara, tetapi, kalau Perdana Menteri sendiri terumbang-ambing, maka semua pihak akan terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tentang penyelesaian krisis politik untuk mewujudkan kerajaan stabil dengan mengekalkan pentadbiran sekarang dan cuma menukar Perdana Menteri.

Senada dengan beliau, penganalisis politik dan keselamatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin yang berkata, menukar Perdana Menteri tidak sesuai ketika pandemik Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

Antara lain, tiada seorang pemimpin negara yang pernah berdepan krisis kesihatan berskala besar seperti Covid-19 dan pertukaran kepimpinan hanya mendorong kepada masalah lebih besar dan mengundang kemarahan rakyat.

“Jadi, ketika ini, semua pihak perlu mencapai konsensus bersama berpaksikan matlamat ingin keluar daripada pandemik dan tiada bentuk pertukaran besar dalam negara,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib pula berkata, kelemahan disebabkan seseorang individu tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan kerajaan.

“Contohnya, kalau ada kelemahan dalam pengurusan vaksin Covid-19 dan jika ada solusi untuk mempercepat dan lebih tersasar, maka boleh menyelaras semua strategi tanpa perlu menukar Perdana Menteri.

“Begitu juga dalam politik negara, carilah kaedah lain yang boleh menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik tanpa menukar kedudukan sesiapa,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bilcher Bala berkata, Malaysia seharusnya mengambil pendekatan sama dengan Slovakia dan Itali yang menyaksikan Perdana Menterinya melepaskan jawatan akibat kemelut politik yang melanda negara itu.

Katanya, pertukaran kepimpinan tidak lagi harus berpandukan kepada kesesuaian keadaan atau sebaliknya kerana negara sudah tidak mempunyai cukup masa ketika kerajaan sudah terbukti tidak mampu menguruskan pandemik Covid-19.

“Adakah kita mahu menunggu keadaan terlalu parah dalam tempoh dua tahun lagi baru menukar kepimpinan?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Perdana menteri yg kata rakyat tak perlu angkat bendera putih. Tunggu saja bantuan kerajaan. Berapa ramai rakyat akan berlapar berterusan jika menunggu bantuan kerajaan. Dia cuma pikirkan survival politik sendiri. Ya, PM macam ni memang patut ditukar. Itu belum cakap ttg tanggungjawab dia depan Allah SWT apabila rakyatnya kelaparan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post