Isu Doktor Kontrak: Lain Yang Diminta, Lain Pula Yang Dapat

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor Kontrak bertegas mengambil tindakan drastik bercuti sebagai tanda protes, jika tuntutan berhubung penawaran pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada gagal dilaksanakan. Kerajaan diberi masa tiga minggu untuk melaksanakan tuntutan itu

Tanda pagar #HartalDoktorKontrak juga tular sebelum ini di Twitter sebagai tanda sokongan terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak.


Kempen tanda pagar itu turut membuat gerakan supaya pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 26 Julai ini.

Ia susulan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 23 Jun lalu, bahawa jawatan doktor kontrak membabitkan seramai 23,077 orang dilanjutkan selama setahun bermula 5 Dis 2021 hingga 4 Dis 2022.

Sejak 2016, seramai 786 pegawai perubatan saja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Hari ini..

PUTRAJAYA : Perdana Menteri mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan yang dipersetujui Kabinet itu sebagai langkah penyelesaian segera termasuk melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan pegawai-pegawai berkenaan berjaya melengkapkan pengajian kepakaran masing-masing.

Beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan satu kertas cadangan kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lalu berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.

“Kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.

“Bagi memastikan perkara ini diberikan perhatian penuh dan ditangani secara menyeluruh serta lebih berkesan, saya telah mengarahkan KKM dan kementerian serta agensi yang berkaitan merangka sebuah pelan komprehensif dan inklusif merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, Kabinet turut memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

Justeru, kata beliau, bagi memastikan laluan kerjaya setara dan adil, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji Penuh serta tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

“Keputusan-keputusan ini juga akan memberi ruang kepada kerajaan memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan, meneliti ketetapan sedia ada dalam Akta Perubatan 1971 dan merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

“Kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang Covid-19 dan kerajaan terus komited memastikan kebajikan dan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil,” katanya lapor Utusan Malaysia


.... Hmm.. Doktor-doktor kontrak itu hanya mahu jawatan tetap tapi Kerajaan nak lanjut kontrak lagi.. apa punya jawapan ni?.. lain diminta lain yang dapat..

Kenapa pihak Kerajaan tidak menjelaskan kenapa sebenarnya Kerajaan tidak boleh menyerap kesemua Doktor-doktor kontrak itu ke dalam Jawatan Tetap?
 

Baca ni..

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak mendesak kerajaan mempertimbangkan supaya semua doktor kontrak ditawarkan perjawatan tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perkara itu dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #HartalDoktorKontrak diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang diwakili Pesuruhjayanya, Nik Salida Suhaila Nik Salleh.

Jurucakapnya, Dr Mustapha Kamal A Aziz, berkata desakan sepanjang pandemik Covid-19 meningkatkan penglibatan doktor dan petugas perubatan kontrak, namun tiada pampasan setimpal diberikan.

“Sehingga hari ini, proses pelantikan tetap masih menemui jalan buntu di mana proses pemilihan dan perjawatan masih samar. Saban hari, kami hanya diberitahu bahawa pelantikan semua bergantung kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Lagi memburukkan keadaan, pihak Kementerian Kesihatan dilihat memandang enteng dalam membantu menyelesaikan isu ini sekali gus mengakibatkan pelbagai respons negatif pelbagai pihak,” katanya pada sidang media maya selepas sesi penyerahan memorandum itu.

Katanya, penyambungan kontrak perjawatan yang disambung juga masih dilihat sebagai tiada hala tuju sebenar sekali gus menafikan hak doktor yang bertungkus-lumus menggembleng tenaga pada musim pandemik ini.

“Kami tidak minta untuk pencen, tetapi cukup sekadar serapkan kami kepada jawatan tetap dengan caruman KWSP.

“Malah, dengan jawatan tetap ini, mudah bagi kami mengembangkan kerjaya dengan lanjutan pengajian atau memilih pengkhususan sebagai persediaan menjadi doktor pakar, melainkan kerajaan mengubah dasar sedia ada,” katanya.

Jelasnya, disebabkan eksploitasi dan tiadanya peluang untuk mengambil pengkhususan, ramai antara doktor kontrak terpaksa meninggalkan sistem kesihatan awam.

“Ini bakal menyebabkan kekurangan staf di hospital awam, terutama di kawasan pedalaman di mana ramai bergantung kepada sistem kesihatan awam. Keadaan kerja yang memudaratkan pekerja kesihatan memberi kesan kepada kualiti penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau turut mendakwa, gelombang ketiga Covid-19 yang lebih dahsyat berbanding gelombang sebelumnya dicetuskan oleh kegagalan ahli politik dalam menjaga garis panduan kesihatan.

“Sistem kesihatan kita juga berada dalam keadaan kritikal. Kami memandang berat isu pelantikan tetap ini kerana ia berkait rapat dengan masa depan bidang perubatan negara.

“Jika isu pelantikan tetap pegawai perubatan ini masih menemui jalan buntu, tidak dinafikan kita bakal jauh ketinggalan sekali gus menjadi titik-tolak kepada zaman kegelapan bagi bidang perubatan negara.”

Katanya, semua doktor berstatus kontrak akan menyertai mogok aman di hampir semua hospital awam utama seluruh negara bermula 11 pagi 26 Julai ini.

Seorang doktor kontrak berkata, hartal atau mogok pada 26 Julai ini bagi mendedahkan realiti sebenar bahawa sistem kesihatan negara semakin tenat dengan seorang demi seorang doktor kontrak meletak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Katanya, ia dibuktikan dengan majoriti pegawai perubatan dan petugas kesihatan semakin ramai mengalami “burnout” susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

“Kita tetap mahu laksanakan hartal pada Isnin depan kerana tuntutan kami selama ini bergerak perlahan, kami lakukan ini untuk rakan-rakan lain juga,” kata Dr Umar Baraka yang turut menyertai sidang media maya itu.

Sidang media itu turut dihadiri peguam S Ambiga lapor FMT


Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post