Dr. Noor Hisham Tidak Sepatutnya Diseret Masuk Ke Gelanggang Politik

KELMARIN Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan satu kenyataan berikutan keputusan kerajaan menangguhkan persidangan Parlimen yang sepatutnya diadakan hari ini.

Sudah pastilah sebagai pakatan pembangkang, mereka akan menentang walaupun keputusan kerajaan itu dibuat selepas mendengar pembentangan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Tetapi malangnya Majlis PH begitu lantang dalam kenyataan menggesa agensi kerajaan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya ‘tidak bersekongkol’ dengan kerajaan untuk menutup Parlimen.

Mereka menganggap risiko Covid-19 yang dikatakan oleh kerajaan hanyalah alasan dan helah untuk mengelakkan Parlimen bersidang.

Malam tadi Dr. Noor Hisham mengeluarkan penjelasan terperinci yang dimuatkan dalam 7 muka surat kenapa KKM mencadangkan supaya sidang Parlimen terpaksa ditangguhkan selama dua minggu.

Salah satu yang paling ketara beliau menegaskan, “Walaupun jumlah kes positif Covid-19 yang dikesan semasa sidang Parlimen ini adalah 0.8 peratus, namun hasil penilaian risiko dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati persidangan Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19.’’

Dan kira-kira pukul 11 malam tadi, Dr. Noor Hisham mengeluarkan satu lagi kenyataan melalui Facebook memaklumkan empat sampel RT PCR kes positif Covid-19 hasil daripada saringan yang dijalankan di Parlimen yang diterima Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh menunjukkan mutase ‘spike protein’ yang dikenal pasti wujud varian Delta atau varian Kappa.

Bagaimanapun beliau berkata, berdasarkan variant of concern (VOC) yang sedang menular di dalam komuniti, ia kemungkinan besar adalah varian Delta.

“Untuk makluman kajian di luar negara dan WHO telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding yang dijangkiti dengan varian biasa,’’ katanya.

Dr. Noor Hisham bukan ahli Politik, beliau membentangkan semua itu berdasarkan kepada data dan sains – istilah yang sering dimomok-momokkan oleh pembangkang apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan berkaitan Covid-19.

Tetapi persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin pembangkang dan segelintir pemimpin parti dalam kerajaan yang berjiwa pembangkang akan menerima penjelasan panjang lebar dan pemberitahuan oleh Dr. Noor Hisham itu?

Jangan terkejut dan tidak perlu dihairankan kalau mereka akan menolaknya kerana di dalam kepala mereka sejak awal lagi sudah menganggap kerajaan mahu mengelak daripada bersidang hari ini.

Namun jangan lupa dalam kenyataan tujuh muka surat itu, Dr. Noor Hisham turut menjelaskan berhubung “Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid- 19” di Parlimen yang turut dihadiri termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang, sebelum sidang bermula pada 26 Julai.

Dalam mesyuarat itu mereka telah dimaklumkan hasil saringan pra-persidangan, risiko penularan jangkitan Covid-19 serta kekhuatiran KKM. KKM mengemukakan dua cadangan;

Pertama, Sidang Khas Parlimen ditangguhkan sehingga status liputan imunisasi sekurang-kurangnya 40 peratus terutama di Lembah Klang. Ini mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 seluruh Malaysia terutama di Selangor, WPKL dan Negeri Sembilan;

Atau kedua, sekiranya Sidang Khas Parlimen diteruskan, jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan bagi mengurangkan tempoh pendedahan.

Dicadangkan juga supaya sidang hendaklah dihentikan serta-merta sekiranya terdapat kes positif Covid-19 dikesan bagi mencegah berlakunya risiko penularan jangkitan .

Mesyuarat termasuk wakil parti-parti politik telah memutuskan untuk melaksanakan cadangan kedua.

Berdasarkan kepada keadaan itu, kenapakah parti-parti pembangkang dan segelintir ahli Parlimen parti dalam kerajaan tidak berpuashati dengan keputusan kerajaan menangguh sidang khas tersebut?

Bukankah keputusan itu dibuat atas penilaian risiko oleh KKM dan ia bertepatan dengan cadangan kedua yang dipersetujui bersama?

Kenapa pula secara tiba-tiba mahu melompat dengan memberi amaran keras kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan memperalat agensi dan kementerian termasuk Ketua Pengarah Kesihatan untuk menutup Parlimen, hari ini?

Kenapa perlu mengingatkan Dr. Noor Hisham agar tidak membenarkan diri beliau diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti dititah Yang di-Pertuan Agong?

Mungkin peringatan itu diberikan sebelum Dr. Noor Hisham memberi penjelasan panjang lebar dan kewujudan varian Delta dalam kes positif di Parlimen tetapi sekarang data dan sains sudah membuktikan amat berisiko jika sidang Parlimen diteruskan, justeru mereka perlu menerimanya.

Dr. Noor Hisham tidak sepatutnya diseret untuk masuk ke gelanggang politik, sebagai penjawat awam yang diberi tanggung jawab besar menasihatkan kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 – beliau bercakap berdasarkan data dan sains bukannya membuat dakwaan tanpa bukti seperti menyatakan mempunyai angka ‘yang kukuh dan menyakinkan’.

Janganlah kerana apa yang dibentangkan oleh Dr. Noor Hisham tidak memenuhi kehendak pembangkang maka fakta dan data yang beliau bentangkan pun mahu ditolak mentah-mentah.

Penulis tidak pasti berapa ramai ahli Parlimen yang akan ‘mengikut jejak’ Himpunan Baju Hitam kelmarin yang menunjukkan sikap ‘berani tidak bertempat’ apabila sanggup berhimpun ‘di sarang virus’ Covid-19.

Tetapi seharusnya ahli-ahli pembangkang jauh lebih bijak daripada peserta himpunan tersebut dan menyedari risiko yang menanti jika mereka berdegil juga untuk berhimpun di Parlimen pada hari ini.

Penulis faham, keterujaan dan keghairahan pembangkang untuk menyerang kerajaan sudah tertahan lagi berikutan isu pembatalan Ordinan Darurat, tetapi mereka perlu terima penjelasan Dr. Noor Hisham.

Lagi pula, Dr. Noor Hisham mencadangkan penutupan Parlimen selama dua minggu sahaja, selepas itu kalau Covid-19 reda, bersidanglah semula. Kalau ahli-ahli Parlimen tersebut mahu menunjukkan kedegilan mereka sama seperti mana peserta himpunan baju hitam, bagaimana kita mahu memastikan usaha memerangi pandemik itu akan berjaya?

Bukankah angka kes baharu yang meningkat setiap hari dijadikan modal oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan dan sekarang bila KKM membentangkan risiko jangkitan akan bertambah dengan varian yang cukup bahaya jika sidang Parlimen diteruskan, mereka pula terketar-ketar mahu juga pergi ke Dewan Rakyat. Pelik sungguh!

Asal artikel dari SINI

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post