Empat Kebarangkalian Siapa Bakal Perdana Menteri Ke-9

Parti-parti politik kini berusaha membentuk jajaran baharu selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Difahamkan, tiga parti politik utama sibuk mengadakan mesyuarat ‘siang malam’ bagi menetapkan calon-calon yang sesuai bagi mengisi jawatan Perdana Menteri kesembilan itu.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan perbincangan pada pukul 5 petang semalam membabitkan pimpinan parti itu di sebuah lokasi di Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur.

UMNO pula menerusi Biro Politiknya turut mengadakan mesyuarat serupa di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

PAS selaku salah satu komponen Perikatan Nasional (PN) juga mengadakan pertemuan bersama wakil-wakil rakyat mereka.

Setakat ini, beberapa nama disebut-sebut dicalonkan menduduki kerusi nombor satu kerajaan tersebut iaitu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Nama Ismail Sabri paling popular, dipercayai disokong sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO serta dipersetujui Pas. UMNO memiliki 38 kerusi Parlimen manakala Pas 18 kerusi

Bagaimanapun, jumlah sokongan masih menjadi tanda tanya berikutan beliau tidak disokong Bersatu.

Pada masa sama, difahamkan sebilangan Ahli Parlimen UMNO lagi yang diketuai presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan memberi restu terhadap pencalonan Ismail Sabri.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Ismail Sabri layak diangkat untuk mengurus tadbir kerajaan yang baharu dalam memerangi Covid-19.

“Dia layak sebab disokong sebahagian besar parti politik, kebanyakannya Ahli Parlimen UMNO. Namun, kita serahkan kepada parti untuk buat keputusan.

“Daripada Pas dan Bersatu, saya rasa mereka akan sokong. Demi negara, pelantikan Perdana Menteri baharu ini perlu dibuat secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

PH yang mempunyai 89 kerusi Parlimen dianggotai PKR, DAP dan Amanah sepakat meletakkan Anwar sebagai calon tunggal. 

Seperti Ismail Sabri, Presiden PKR itu dikatakan masih bergelut mendapatkan ‘nombor’ dalam menjayakan citacita yang tidak kesampaian sejak 1998 ketika menjadi timbalan kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, Anwar adalah calon paling layak menjadi Perdana Menteri kerana negara memerlukan pentadbir baharu untuk mencorak pentadbiran dan bukannya melantik seseorang daripada kerajaan yang gagal.

“Saya yakin Seri Paduka akan buat pilihan terbaik merungkai masalah politik bagi memastikan fokus kerajaan adalah terhadap proses vaksinasi, menghentikan penularan Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan selamatkan nyawa rakyat.

“Anwar pada waktu ini memerlukan tenaga baharu bukan daripada ahli Kabinet kerajaan yang gagal. Apa pun keputusan akhirnya di tangan Tuanku, Daulat Tuanku!,” ujarnya.

Bagi parti Warisan, Mohd. Shafie dianggap paling layak dilantik sebagai calon Perdana Menteri baharu berdasarkan pengalaman beliau lebih 30 tahun dalam politik.

Ketua Wiranya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, tidak pernah dalam sejarah negara, pemimpin Sabah diberi peluang menerajui negara.

“Pertimbangan ini penting untuk kita terus merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang dianggap pemimpin veteran paling lantang pernah menawarkan diri untuk dilantik Perdana Menteri.

Namun katanya, beliau sedar tidak akan mendapat sokongan daripada UMNO melainkan ada sokongan ahli pembangkang lain. 

“Saya tidak tahu, saya tidak mendapat sokongan parti,” ujarnya yang dipetik daripada satu portal lapor Utusan Malaysia

Sementara itu portal The Malaysian Insight menyenaraikan empat kebarangkalian siapa bakal perdana menteri kesembilan:

KEBARANGKALIAN 1 – Tengku Razaleigh Hamzah atau Ismail Sabri Yaakob

Sokongan mungkin dari Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai 20 ahli Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (18), MCA (2), MIC (1), empat Bebas (Julau, Tebrau, Kuala Langat and Ranau), PBS (1) dan dua puak Umno (38).

Formula ini sama dengan sokongan 115 ahli Parlimen yang menyokong PN dibawah pimpinan Muhyiddin.

Sama ada Tengku Razaleigh atau Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno dilantik sebagai perdana menteri, semuanya bergantung kepada kepada rundingan.

KEBARANGKALIAN 2 – Anwar Ibrahim variasi #1

Presiden PKR akan jadi perdana menteri sekiranya semua 105 ahli Parlimen pembangkang menyokong beliau, ditambah 15 lagi dari Umno diketuai presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Komposisi ahli Parlimen pembangkang ketika ini adalah Pakatan Harapan (88), Pejuang (4), Warisan (2), Parti Sarawak Bersatu (2), Upko (1), Muda (1) dan satu Bebas (Simpang Renggam).

Dengan 15 lagi ahli Parlimen Umno termasuk Zahid, Anwar dengan mudah peroleh 120 sokongan, lebih 20 berbanding blok PN.

Bagaimanapun, ini mustahil berlaku kerana Zahid telah berjanji untuk mengekalkan dasar ‘No Anwar, No DAP’ dalam perhimpunan agung Umno pada Mac.

Malah, parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak akan menyokong mana-mana individu sebagai perdana menteri seterusnya, dan mencadangkan supaya Majlis Pemulihan Negara perlu ditubuhkan bagi menggantikan PN.

KEBARANGKALIAN 3 – Anwar Ibrahim variasi #2

Senario ini akan berlaku apabila 31 ahli Parlimen Bersatu dan 105 dari blok pembangkang (menjadi 136 ahli Parlimen) menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Namun, kebarangkalian ini juga mustahil untuk jadi kenyataan memandangkan Bersatu berseteru dengan PH, kerana menggulingkan kerajaan bersama 11 ahli Parlimen yang belot PKR.

Dan sudah pasti, dalam kalangan pembangkang sendiri Anwar tidak mendapat sokongan dari Pejuang pimpinan Dr Mahathir.

KEBARANGKALIAN 4 – Muhyiddin Yassin sekali lagi jadi PM

Dalam situasi ini, kesemua 31 ahli Parlimen Bersatu perlu setuju untuk keluar dari gabungan bersama Barisan Nasional, GPS dan PAS, lantas berkompromi dengan 105 ahli Parlimen pembangkang dan seterusnya menjadikan mereka mempunyai 136 sokongan.

BAGAIMANA INI BOLEH BERLAKU? 

Tidak mustahil Bersatu memeterai Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan PH walaupun parti itu membelot melalui “Langkah Sheraton” pada Februari tahun lalu. Lebih-lebih lagi Muhyiddin pada 13 Ogos lalu umum tujuh tawaran untuk meraih sokongan pembangkang sebagai usaha terakhir memastikan kerajaan PN terus berfungsi.

Tawaran itu meski ditolak pembangkang sebelum Muhyiddin letak jawatan, tetapi apa yang bakal berlaku dalam masa terdekat ini tiada siapa yang tahu. Segalanya berkemungkinan.

Berikut pecahan ahli Parlimen mengikut parti atau gabungan:

PH (88), PN (50), Umno 23 (diketuai Ismail Sabri Yaakob), GPS (18), Umno 15 (diketuai Ahmad Zahid Hamidi), Warisan (8), Pejuang (4), PSB (2), MCA (2), MIC (1), Muda (1), PBRS (1), Upko (1), PBS (1), Bebas (5)

PH: DAP (42), PKR (35) dan Amanah (11)

PN: Bersatu (31), PAS (18) dan STAR (1)

Di dalam artikel ini, gabungan BN (42) terpecah kepada dua puak Umno, satu yang dipimpin Ismail Sabri (23) bersama MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1), manakala satu lagi puak dipimpin Zahid (15).


1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Selesai pandemik...bubar parlimen.
    Kesudahan paling ampuh.

    Sampai bila-bila tak akan selesai jika majoriti rapuh. Semua nak menjadi king maker. Semua masih menyimpan dendam sesama mp. Semua ingin kehendak dipenuhi.

    Semoga ydp agong meletakkan syarat agar pm baru hanya menjalankan tugas sehingga pandemik benar-benar terkawal dan pru diadakan. Jika tidak krisis akan terus berpanjangan.

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post