
JASIN: Gara-gara panik melalui sekatan jalan raya (SJR), seorang pemandu treler menyerahkan sendiri bekalan ganja yang dibawanya dalam muatan treler di laluan keluar Tol Lipat Kajang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, suspek berusia 53 tahun dalam perjalanan membawa muatan cermin dari Melaka ke Klang, Selangor.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Deputi Superintenden Mohd. Akmal Abdullah berkata, sejurus selepas tiba di SJR, polis menjalankan pemeriksaan ke atas treler dipandu suspek.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, pemandu treler berkenaan tiba-tiba menyerahkan satu kotak kertas kecil yang diambil daripada ruang rehat di belakang kerusinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan, kotak tersebut mengandungi satu ketulan tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 600 gram bernilai RM1,000.
“Dipercayai suspek bertindak sebagai transporter dan membawa dadah tersebut untuk rakannya.
“Hasil soal siasat suspek mempunyai empat anak dan tidak mempunyai rekod lampau jenayah,” ujarnya.
Tambahnya, saringan ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun didapati positif ganja.
“Suspek direman tujuh hari sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!