Selagi Ada Matahari, Bintang Rumah Api Pulau Pisang Diurus Singapura

PONTIAN: Malaysia tidak akan hilang kedaulatan terhadap Pulau Pisang, di sini tetapi rumah api di kepulauan tersebut akan diuruskan Singapura selagi terbitnya matahari dan bintang.

Ketetapan itu selaras perjanjian ditandatangani pada tahun 1900 antara Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim dengan Gabenor negeri-negeri Selat, Sir James Alexander Swettenham berkaitan Pulau Pisang yang diyakini terus dipatuhi.

Mengikut perjanjian itu, Pulau Pisang adalah hak mutlak Kerajaan Negeri Johor dan British ketika itu hanya diberi kebenaran untuk membina, mengendali dan menyelenggara rumah api berdasarkan perjanjian bertulis atau indenture yang ditandatangani pada 6 Oktober 1900 dengan persefahaman itu diteruskan sehingga kini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum, Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim berkata, status quo itu turut diakui Singapura berkaitan hak dan kedaulatan Johor ke atas Pulau Pisang meskipun selepas mereka keluar daripada Persekutuan Malaysia pada 1965 yang menyaksikan hak pengurusan rumah api bertukar tangan.

Menurutnya, walaupun perkara yang terjadi di Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca agak sukar untuk berlaku di Pulau Pisang, namun kelalaian pihak tertentu sekiranya berlaku boleh menyebabkan ‘pisang berbuah dua kali’.

“Saya ada mengikuti titah Sultan Johor sekarang, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2017 bahawa perjanjian Pulau Pisang itu selagi ada matahari dan bintang, ia tidak boleh dibatal. Malah baginda juga titah Singapura terang-terangan kata ia bukan hak dia, bukan tanah dia. Mereka akui ia milik Johor dan cuma tadbir rumah api sahaja.

“Jika semangat persefahaman dan perjanjian itu diambil kira, mustahil untuk berlaku kejadian serupa di Pulau Batu Puteh. Apatah lagi kita sudah ada pengalaman dengan kejadian di Pulau Batu Puteh, namun langkah berjaga-jaga itu tidak ada salahnya diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Akhbar ini melaporkan Malaysia di­khuatiri hilang kedaulatan ke atas Pulau Pisang jika terus membiarkan negara lain membina dan mengurus rumah api di kepulauan tersebut, sekali gus bakal me­ngulangi nasib Pulau Batu Puteh.

Memetik laporan The Straits Times, Menteri Luar Singa­pura pada tahun 2003 memaklumkan kepada Parlimen negara itu bahawa Pulau Pisang adalah milik Malaysia dan mengulangi pendirian Singapura tidak pernah mempersoal kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang, tetapi peng­urusan rumah api di situ harus kekal bersama Singapura.

Ku Hasnan berkata, meskipun Pulau Pisang kini tidak lagi didiami penduduk, ia berperanan seperti pintu kedaulatan negara yang melambangkan pertahanan sebagai pusat tinjauan awal sekiranya berlaku apa-apa. – UTUSAN

1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Pandora papers....
    Rupa2nya sejak tahun 2006 hingga 2015 beratus billion wang hasil perniagaan telah melarikan cukai.

    Selepas 2015 kadarnya menghilang setelah cukai gst diperkenalkan. Jadi kenapa perlu sst diperkenalkan kerana pemimpin vvip pr/ph pernah mencadangkan agar kita mencontohi cara percukaian singapura(gst)?

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post