Kenapa AMANAH Sokong 'Katak Berprinsip' Sebagai Calon PH?

Seorang pemimpin Amanah menjelaskan, langkah Pakatan Harapan (PH) menerima dua bekas Adun Umno sebagai calon mereka ada kaitan dengan langkah taktikal bagi memenangi PRN Melaka.

Pengarah Komunikasi Amanah Nasional Khalid Samad berkata kedua-dua bekas Adun itu - Idris Haron dan Nor Azman Hassan - mempunyai sokongan masing-masing.

Dengan gabungan sokongan yang sudah ada pada PH, katanya, mereka yakin ada potensi besar untuk memenangi PRN pada 20 Nov kali ini.

Untuk rekod Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka menjadi calon PKR bagi pihak PH di kerusi DUN Asahan, manakala Nor Azman (Amanah) bertanding di Pantai Kundor.

"Di Asahan memang Idris ada sokongan dan kalau dicampur dengan sokongan yang ada ada PH, insya-Allah boleh menang.

"Begitu juga di Pantai Kundor, Nor Azman orang yang dikenali dan dia memang (selalu) turun padang.

"Dia ada sokongan dan campur dengan sokongan PH, ia juga boleh dimenangi. Begitu juga di kerusi-kerusi lain yang ada sokongan kepada Idris dan Nor Azman," katanya dalam program bual bicara dalam talian kendalian Jom Channel malam tadi.

Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam menambah, penyokong Idris dan Nor Azman juga melihat bagaimana kedua-dua bekas wakil rakyat itu "dicantas" oleh Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Justeru katanya dengan kerjasama yang diberikan PH, gabungan itu yakin dapat memanfaatkan sokongan pengikut Idris serta Nor Azman.

Idris dan Nor Azman merupakan pemimpin Umno yang melakukan gerakan - bersama dua bekas Adun lain - sehingga menyebabkan ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali kehilangan majoriti di DUN.

Bukan melompat tapi dipecat

Di sebalik kedudukannya sebagai ketua Umno negeri, Ab Rauf tidak mewakili mana-mana kerusi DUN Melaka. Selepas PH dijatuhkan dan Umno serta Perikatan Nasional membentuk kerajaan, Ab Rauf dilantik menjadi speaker.

Ab Rauflah yang mengumumkan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lalu iaitu pada hari yang sama empat Adun kerajaan mengumumkan mereka tidak lagi menyokong Sulaiman.

Bagaimanapun pembabitkan Idris - yang menjadi ketua menteri antara 2013 hingga 2018 - dan Nor Azman sebagai calon tidak disenangi DAP yang bertegas enggan menerima mana-mana bekas Adun yang membelot kepada parti mereka.

Kata Khalid Amanah juga berpendapat tidak semua orang boleh digelar 'katak' kerana didakwa meninggalkan Umno dan menyertai PH.

Sebaliknya kata Khalid kedua-dua bekas Adun itu dipecat oleh Umno kerana mempertahankan prinsip dan mengambil pendirian terhadap isu yang berlaku dalam kerajaan negeri.

Hal itu, katanya, perlu dijelaskan kepada orang ramai.

Untuk mengukuhkan lagi pendapat itu, Khalid merujuk kepada dakwaan Idris bahawa ada pemimpin Umno Melaka terlibat dalam salah laku pada projek melombong pasir yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khalid juga menafikan PH kini berkompromi dengan prinsip mereka dengan menyerap Idris dan Nor Azman ~ Malaysiakini

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post