Langkah PH Letak ‘Katak Berprinsip’ Mungkin Makan Diri

PETALING JAYA: PKR dan Amanah mungkin berharap dapat mencuri undi Umno dengan meletakkan bekas ahli parti Melayu di Melaka yang melompat untuk menyertai mereka tetapi penganalisis memberi peringatan bahawa langkah itu akan memakan diri.

Menurut bekas ahli akademik Azmi Hassan, penyokong Pakatan Harapan (PH) mungkin memberontak terhadap tindakan itu.

Selepas menerima bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Nor Azman Hassan, pemimpin PH kini mendapati diri mereka terdesak untuk mempertahankan keputusan itu.

Ketua gabungan itu di Melaka, Adly Zahari menyamakannya dengan penerimaan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018, yang menyaksikan berlakunya pertukaran kerajaan pusat buat pertama kalinya dalam sejarah negara.

Manakala Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim cuba membezakan penerimaan bekas pemimpin Umno itu dengan Langkah Sheraton.

Pada sidang media semalam, Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook terpaksa memberitahu penyokong parti yang diakuinya tidak berpuas hati dengan penerimaan itu supaya kekal teguh menyokong PH.

Bagaimanapun, Azmi menimbulkan keraguan sama ada penyokong PH akan menyertai usaha blok itu untuk mencuri undi daripada Umno.

“Mereka mungkin percaya bahawa dua bekas ADUN Umno itu boleh menarik sokongan daripada ahli Umno dan ia menjadi pertimbangan utama dan alasan mengapa mereka dibawa masuk,” katanya kepada FMT.

“Namun daripada setiap 100 penyokong Umno yang berjaya ditarik oleh Idris atau Azman, mungkin terdapat 1,000 orang yang berasa tertipu oleh parti mereka.”

Katanya, ini akan menyebabkan berlakunya undi protes dan pengundi tidak keluar mengundi khususnya di Asahan dan Pantai Kundor, iaitu kerusi dua bekas pemimpin Umno itu bertanding.

“Stigma terhadap dua calon ini mungkin merebak ke tempat lain dan parti itu terpaksa berdepan kesan buruk akibat susulan keputusan untuk menerima mereka.” ~ FMT

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post