TELAH banyak ramalan dan jangkaan dibuat oleh ahli politik, ahli akademik mahupun rakyat biasa ke atas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung esok. Paling menarik tentulah keyakinan Pakatan Harapan (PH) bila bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob menyertai kempen Parti Amanah Negara (Amanah).
Lebih unik, Mohd. Khalil secara terbuka berkempen memuji bekas dan calon Ketua Menteri Melaka dari PH, Adly Zahari yang disifatkan sebagai intelektual, pragmatis dan praktikal. Sokongan terbuka daripada seorang tokoh berpengaruh besar di Melaka yang sebelum ini menjadi Yang Dipertua Negeri merupakan pemimpin tinggi UMNO, pastilah mengejutkan.Beliau juga diberitakan calon Ketua Menteri dari PH dalam PRU-14 tetapi tidak kesampaian apabila tumpas tipis dengan majoriti 536 undi di tangan calon BN, Ghazale Muhamad di DUN Rim.
Pengaruh beliau selaku Ketua Penerangan PKR dan bekas Timbalan Menteri Industri Utama menyebabkan nama Pengerusi PKR Melaka, Datuk Halim Bachik diketepikan sebagai calon.
Bila dua bekas Ketua Menteri bergabung dalam satu barisan, ditambah sokongan bekas Yang Dipertua Negeri, logiknya kelebihan pasti menyebelahi barisan itu.
Ini kerana menjadi pengetahuan umum bahawa pengundi Cina dan India masih lagi padu di belakang DAP walaupun tahap kepaduannya sudah berkurang.
Ditambah pertembungan sesama sendiri BN dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikan pemenang bagi kerusi-kerusi pengundi majoriti Melayu menjadi tidak menentu.
Secara tradisinya, Melaka pra 2018 merupakan kubu kuat UMNO, komponen utama BN, tetapi Melaka pasca 2018 sudah menjadi terlalu berbeza disebabkan kemunculan beberapa faktor.
Dalam PRU-14, seperti di negeri-negeri lain hampir di seluruh pelosok negara, isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikenal pasti menjadi faktor utama yang merobek teruk keyakinan rakyat kepada BN.
Ajaibnya, dengan pelaku utama skandal 1MDB telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah, beliau terus juga diberikan peranan utama untuk menarik sokongan kepada BN.
Paling mutakhir, buku sensasi Tan Sri Nazir Razak bertajuk What’s In A Name memuatkan lima bab khusus yang menceritakan secara terperinci bagaimana skandal 1MDB berlaku. Di dalamnya, Nazir mencatatkan bagaimana sejak 2009 lagi, beliau menemui banyak perkara tidak betul dalam perjalanan 1MDB dan mempersoalkannya.
KURANG ENAK
Malangnya, setiap persoalan tidak pernah berjawab atau diambil tindakan sehingga mendorong beliau mengadu hal itu kepada Perdana Menteri, Raja-raja Melayu dan sebagainya. Dinyatakan secara terus-terang di dalamnya betapa projek-projek 1MDB adalah penipuan kewangan (financial scams) yang disertakan perincian bagaimana ia berlaku.
Begitupun, perkara-perkara yang dibangkitkan dalam buku ini yang mendapat liputan meluas media massa sehingga kini masih belum mampu dijawab oleh mana-mana pihak terbabit. Ditambah pula liputan meluas media massa ke atas perbicaraan mahkamah mengenai skandal 1MDB yang menjadikan komitmen UMNO terhadap urus tadbir baik sentiasa dipersoalkan.
Lebih teruk lagi, imej Presiden UMNO yang dibayangi masalah sama dengan liputan meluas media massa ke atas perbicaraan mahkamah mengenai pelbagai dakwaan rasuah beliau. Dalam konteks UMNO Melaka pula, pelbagai cerita kurang enak membabitkan Pengerusi dan pemimpin UMNO Melaka lain turut memberikan persepsi kurang baik ke atas parti itu.
Lebih menjejaskan imej UMNO adalah pendedahan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di DUN Terengganu mengenai punca kegagalan perundingan BN-PN. Kata Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu itu, di peringkat awalnya perbincangan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk menghadapi PRN Melaka berjalan baik.
Setelah dua kali bertemu, iaitu pada 27 dan 29 Oktober lalu, beberapa persetujuan dicapai dan cadangan pre-election agreement dirangka untuk kerjasama berlaku bagi PRN Melaka. Begitupun, pada 3 November lalu, pasukan perunding dalam kekecewaan dimaklumkan ada seorang ketua parti yang akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahu pertandingan tiga penjuru.
Dedah Ahmad Samsuri pada 17 November lagi: “Memang semua (dalam pasukan perunding) kecewa, tapi apa nak buat, sikap abang long inilah yang mengganggu kerjasama sesama kita.”
Mudah sahaja sebenarnya hendak dibaca hala tuju politik tanah air pasca PRN Melaka ini kerana ia bergantung ke atas penerimaan pengundi terhadap ‘sikap abang long’ tersebut.
Jika PN yang melalui Bersatu dalam PRU-14 memenangi dua kerusi mampu menambah bilangan kerusi ini dalam PRN Melaka, maka ia adalah satu kejayaan bermakna untuknya. Jika BN yang melalui UMNO dalam PRU-14 memenangi 13 kerusi gagal mengekalkan bilangan ini dalam PRN Melaka, maka ia pula satu kegagalan besar untuknya.
Jika ini berlaku, maka ia adalah penolakan terhadap ‘sikap abang long’ yang akan memaksa UMNO melakukan perubahan dalam struktur kepimpinan mahupun pendekatan politiknya.
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!