Anak Saudara MP PKR Didakwa Minta Dan Terima Rasuah

 


KUALA LUMPUR: Dua individu termasuk seorang anak saudara Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing untuk “menutup kes” penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing oleh sebuah syarikat.

Bagaimanapun, anak saudara Sivarasa, Naveen Kularasa Rasiah dan bekas pekerjanya, Nico Kam Jo Hoe mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam, Sivarasa mengecam tindakan SPRM dan mendakwa pertuduhan rasuah ke atas ahli keluarganya sebagai tindakan balas dendam susulan kelantangannya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Sivarasa merupakan Ahli Parlimen pertama membangkitkan isu pemilikan saham Azam di Parlimen dan sejak itu ia membawa kepada pelbagai siasatan selain kecaman orang ramai.

Dalam kenyataan semalam, Sivarasa berkata, anak saudaranya Naveen yang bertugas sebagai Pengurus Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Buloh dipanggil ke pejabat SPRM, Jumaat lalu dan memberitahu dia akan didakwa atas kesalahan berkaitan kejadian yang berlaku pada 2017.

Sementara itu, hakim Azura Alwi memutuskan tarikh sebutan kes Naveen dan Nico Kam pada 24 Feb.

Kedua-duanya dibenar diikat jamin RM10,000 seorang hari ini.

Dalam kes itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai mewakili SPRM, manakala Naveen diwakili peguamnya, M Puravaleen dan Nico Kam masih belum diwakili peguamnya.

Dalam pertuduhan pertama yang dibaca di hadapan Azura, Naveen dan Nico Kam pada 17 Sept 2017 di Restoran Maluri Kuala Lumpur secara bersama meminta rasuah RM55,000 daripada syarikat Dyna Maintenance Services Sdn Bhd, milik seorang warga asing, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kepada pihak imigresen.

Mono dikatakan membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Dalam pertuduhan kedua, secara bersama-sama Naveen dan Nico Kam pada 19 Sept 2017 di Kuala Lumpur bersetuju menerima RM45,000 daripada Mono melalui Nico Kam.

Rasuah itu diterima sebagai dorongan untuk tidak memberitahu kepada pihak imigresen mengenai kegiatan syarikat milik Mono yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh. 

Pertuduhan ketiga, pada 21 Sept 2017 di Restoran Habeeb Jaya, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, dengan niat bersama menerima RM20,000 daripada Mono untuk tidak memberitahu kepada pihak imigresen mengenai kegiatan syarikat milik Mono yang membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Ketiga-tiga pertuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi ~ FMT

1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post