PH Perlu Lupakan Idea 'Khemah Besar' Kata Rafizi?

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu bergerak solo tanpa bekerjasama dengan mana-mana pembangkang sama ada Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bekas Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli berkata, keputusan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pembangkang perlu berdasarkan kepada nilai tambah sama ada parti itu memberi pertambahan kepada undi PH atau sebaliknya.

Menurut beliau, ini kerana strategi pilihan raya itu mestilah mana-mana parti yang datang itu membawa sokongan yang menambah kepada sokongan sedia ada.

“Saya tidak nampak daripada data dan empat keputusan Pilihan Raya Negeri iaitu ada nilai tambah (pengundi) yang dibawa oleh khemah besar atau parti-parti lain. Yang ada ialah berebut kepada pengundi asas PH dan PKR yang sedia ada.

“Cuma asas ini katakanlah 20 peratus tak puas hati pada PKR dan PH, maka mereka lari kepada pembangkang yang lain sedangkan untuk kita menang, kita perlu menawan hati yang 15, 20 dan 30 peratus pengundi atas pagar yang bukan pengundi tegar PKR, UMNO dan PH.

“Keadaan yang berlaku sekarang, khemah besar ini sama ada melibatkan Pejuang, Muda dan Warisan, mereka cuba nak ambil (pengundi PH) yang sedia ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Mengenai hasrat Majlis Presiden PH sebelum ini yang mahu menjalin kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mohd. Rafizi berkata, perkara itu sudah dimaklumkan secara terbuka bahawa beliau tetap tidak bersetuju.

Katanya, keputusan itu seolah tidak meneliti pola dan pandangan pengundi terutamanya di PRN Johor sebelum ini yang mengundi PN dan bukannya PH.

“Kita buat simulasi dengan 40,000 orang pengundi atas pagar di Johor untuk kita faham kenapa mereka undi PN dan kita buat dua tiga senario simulasi untuk melihat apakah keputusannya jika mereka ada pilihan untuk menjadi pengundi atas pagar ataupun tidak memilih mana-mana parti.

“Simulasi yang dibuat berkonsepkan pemindahan undi yang mana kita dapati 60 peratus itu lebih rela memilih BN dan PN daripada PKR serta PH. Tukarlah simulasi keadaan macam mana pun, undi BN dan PN itu berubah naik kerana 60 peratus itu pindahkan undi mereka kepada BN dan PN, tetapi undi PKR serta PH tak berubah dan kekal 10 peratus.

“Apabila ditanya dan diminta buat keputusan mereka kata sebenarnya sudah buat keputusan memang takkan pilih PKR atau PH kali ini, kalau kena pilih, bagi (undi kepada) BN atau bagi PN.

“Oleh itu saya tak bersetuju jika digabungkan dengan PN dan PH, tak tentu undi itu (bertambah) menjadi satu PH campur dengan PN, malah jika tidak berhati-hati, PN pun akan hilang undi itu dan lebih banyak undi atas pagar itu pergi kepada BN,” ujarnya.

Justeru, Mohd. Rafizi berkata, kerjasama dengan mana-mana pembangkang tidak menyelesaikan masalah PH untuk kembali mencapai kegemilangan.

Katanya, ini kerana PH perlu kembali kepada penjenamaan, kandungan dan kempen PH sekiranya mahu menang, supaya pengundi yang sebelum ini kurang gembira dapat kembali kepada PH.

“Kukuhkan balik dan kita meyakinkan pengundi atas pagar yang sebelum ini pernah mengundi PH, tetapi undi PN disebabkan tak puas hati. Jadi (mereka hanya undi) PN dan bukannya undi Pejuang, Warisan atau Muda.

“Dalam keadaan ini kita tahulah Warisan dan Pejuang memang tak ada (nilai tambah). Keputusan PRN Johor juga menunjukkan PKR dan Amanah lebih baik daripada Muda sekiranya dibandingkan komposisi pengundi di kerusi parti ketiga-tiga itu.

“Sama juga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, dalam keadaan bertembung tiga penjuru, kita tengok PKR lebih baik daripada Muda. Kesimpulan boleh dibuat ialah Muda tidak membawa pengundi baru tetapi bergantung kepada pengundi asal PH dan PKR,” jelasnya. – UTUSAN

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post