PETALING JAYA: Peratusan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang rendah iaitu 54.5 peratus bukan punca utama Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan mudah, malah jika peratusan undi sebaliknya parti tersebut kekal mendapatkan super majoriti.
Pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, dakwaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi di PRN Johor berpunca daripada peratusan rendah adalah tidak tepat.
Beliau yang juga penganalisis politik berkata, dakwaan tersebut hanya faktor luaran yang menjadi penyedap rasa kepada parti pembangkang sebaliknya pemimpin parti-parti itu perlu melihat faktor lain dengan lebih terperinci.
“Kemenangan BN di PRN Johor adalah manifestasi kembalinya pengaruh parti tersebut, pengundi kembali bangun dan sedar terhadap satu parti politik yang dianggap boleh membawa perubahan melalui pelbagai aspek.
“Kemenangan BN bagi saya adalah luar biasa kerana memperoleh lebih dua pertiga. Keputusan tersebut turut menunjukkan kebangkitan masyarakat India dan Cina kepada parti komponen tersebut selepas merampas tujuh kerusi hingga menandakan kembalinya aura mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam PRN Johor kelmarin, BN melakar kemenangan selesa dengan memperoleh majoriti dua pertiga apabila mendapat 40 daripada 56 kerusi DUN Johor diikuti Pakatan Harapan (11 kerusi), Perikatan Nasional (3) dan masing-masing satu kerusi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia serta PKR.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berpendapat, kekalahan parti-parti pembangkang adalah disebabkan tiada kesefahaman antara blok tersebut.
“Kekalahan di PRN Johor perlu dijadikan teladan buat parti pembakang supaya kembali merapatkan saf dalam kalangan mereka. Di Larkin sendiri, kita dapat lihat bagaimana PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memecahkan undi.
“Pertempuran itu mengurangkan peluang untuk Pakatan Harapan (PH). Jadi di sini, menandakan parti tersebut perlu mengukuhkan kembali kerjasama mereka yang dilihat longgar dan tidak kuat seperti dahulu,” jelasnya.
Tambahnya, PH perlu mempelajari daripada PRN sebelum ini untuk tidak mengganggu atau menggugat hak Melayu ataupun bumiputera, jika tidak parti tersebut menerima pukulan dan ditolak oleh golongan berkenaaan.
“Kalau kita imbas kembali ketika mereka memerintah pelbagai persoalan dibangkitkan seperti mempersoal UiTM, kedudukan perlembagaan raja dan cuba mengubah naratif sejarah dengan meraikan parti komunis Malaya sebagai pejuang secara terbuka.
“Perkara-perkara disebutkan itu sangat sensitif untuk masyarakat Melayu, bagi mereka 22 bulan itu sudah cukup kerana PH tidak mahu menjaga golongan Melayu sebagai masyarakat asal Tanah Melayu. Itu yang membuatkan Bumiputera tidak selesa,” ujarnya. – UTUSAN
Sebenarnya.. Jika Peratusan Keluar Undi Tinggipun, BN Masih Majoriti
byAnak Sungai Derhaka
-
1
Pru14 lebih kurang 1.3juta dpd 1.7juta pengundi berdaftar keluar mengundi(74%)
ReplyDeletePrnJohor2022 lebih kurang 1.4juta dpd 2.6 juta pengundi berdaftar keluar mengundi(55%)
Walaupun peratusan dikatakan rendah disebabkan penambahan automatik pengundi baru tetapi jumlah keluar mengundi meningkat.
Peningkatan pengundi tetap ada tetapi kemungkinan yg didaftar secara automatik atau berada di luar kawasan tidak turun mengundi.
Kemungkinan pru15 nanti peratusan tetap sama kecuali ada kesedaran pengundi baru tentang hak mereka.
Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!