Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya.
Rumput oh rumput kenapa engkau panjang?
Namun walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan pihak lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.
BANGAU OH BANGAU
Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus
Ikan tidak nak timbul
Ikan tidak nak timbul..
Ikan oh ikan kenapa kau tak timbul?
Macem mana aku tak timbul
Rumput panjang sangat
Rumput panjang sangat..
Macam mana aku tak panjang
Kerbau tak makan aku
Kerbau tak makan aku..
Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku tak makan
Perut aku sakit
Perut aku sakit
Perut oh perut kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit
Makan nasi mentah
Makan nasi mentah
Nasi oh nasi kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah
Kayu habis basah
Kayu habis basah..
Kayu oh kayu kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah
Hujan timpa aku
Hujan timpa aku..
Hujan oh hujan kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa
Katak panggil aku
Katak panggil aku..
Katak oh katak kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
Ular nak makan aku
Ular nak makan aku..
Ular oh ular kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan
Memang makanan aku
Memang makanan aku..
Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya.
Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya..
..... Genap seminggu tragedi yang mengorbankan tiga sekeluarga dalam kejadian kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Baling, namun belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab meluluskan projek ladang durian Musang King di Gunung Inas yang dikaitkan sebagai punca bencana itu.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada Mei 2020 menafikan pentadbirannya terbabit dalam projek itu, sebaliknya menyalahkan kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menjadi menteri besar pada 2013-2016 dan 2018-2020.
Mukhriz pula dalam kenyataannya kelmarin, menegaskan penebangan pokok di Hutan Simpan Gunung Inas dimulakan kerajaan negeri pimpinan PAS antara 2008 hingga 2013 melalui pembangunan Ladang Sejahtera.
Ladang Sejahtera diluluskan di bawah pentadbiran kerajaan negeri PAS ketika itu untuk tujuan penanaman getah, namun persoalan timbul bila projek berkenaan diubah menjadi ladang Musang King.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, selepas PAS mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008, kawasan itu dijadikan ladang getah klon balak (TLC), dengan dividen tahunan daripada pembalakan tender dikongsi bersama hampir 300 keluarga termiskin di Baling, sebagai projek ladang rakyat.
Namun, katanya, sebaik sahaja kerajaan negeri bertukar tangan pada 2013 dengan BN kembali mentadbir, projek ladang rakyat itu telah dibatalkan, dengan hanya kawasan kecil seluas 162 hektar ditanam dengan TLC.
"Kelulusan awal untuk projek perladangan pada 2007 ialah 5,000 hektar. Selepas ia menjadi ladang durian, keluasannya meningkat hingga 12,140 hektar dalam tempoh enam tahun, antara 2013 dan 2019," katanya kepada FMT.
Sanusi berkata demikian menjawab tuduhan kerajaan pimpinan beliau dan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar antara 2008 dan 2013) harus dipersalahkan atas penanaman ladang durian di Gunung Inas yang dikatakan punca tragedi, Isnin lalu.
Penurunan harga getah punca jenis tanaman ditukar kepada durian
Dalam pada itu, seorang bekas EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kedah 2013-2018 memberitahu BH semalam keputusan menukar jenis tanaman projek ladang rakyat di puncak Gunung Inas daripada getah kepada durian pada 2013 dibuat tanpa melalui mesyuarat EXCO negeri.
Sebaliknya, beliau berkata, segala keputusan berkaitan dibuat Menteri Besar dan syarikat yang melaksanakan projek ladang rakyat berkenaan sahaja.
Beliau tidak menolak kemungkinan keputusan menukar jenis tanaman itu dibuat selepas berlaku kejatuhan harga getah yang teruk sehingga peserta ladang rakyat mengalami kerugian.
Jelasnya, ketika itu berlaku perbincangan antara Kedah Agro Sdn Bhd (KASB) dan Menteri Besar ketika itu yang kemudian memutuskan tanaman getah ditukar kepada durian bertujuan meningkatkan pendapatan negeri.
"Hal berkaitan ladang durian Musang King sebenarnya tidak banyak dibincangkan dalam mesyuarat EXCO ketika itu, kita cuma tahu KASB jumpa Menteri Besar dan kemudian tanaman ditukar daripada getah kepada durian.
"Alasan yang diberi kerana harga getah jatuh teruk sehingga kerajaan negeri tidak lagi dapat bayar dividen yang sepatutnya peserta terima ikut perjanjian ketika mereka sertai ladang rakyat dahulu," katanya.
Beliau berkata, projek ladang rakyat tidak mendatangkan masalah kepada alam sekitar kerana hanya membabitkan kerja pembinaan teres dan menanam pokok getah sahaja.
"Disebabkan itu kita tidak dengar berlaku kejadian banjir atau kepala air di kaki Gunung Inas selama ini, kerana tanaman getah tidak bawa masalah besar kepada orang ramai.
"Tetapi apabila tukar kepada durian, baru kita dengar ada banjir dan kepala air. Jika kekal getah, saya percaya semua (bencana) ini tidak berlaku," katanya.
Kelulusan EIA tak babitkan tanaman durian
Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar ketika dihubungi BH semalam mengesahkan laporan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) yang diluluskan pada Julai 2013 tidak membabitkan tanaman durian.
EIA yang diluluskan ketika itu membabitkan pembangunan ladang hutan yang mengandungi tiga komponen iaitu pembalakan dan silvikultur (penanaman semula spesies atau tumbuhan sedia ada), tebang habis bagi penanaman getah klon balak dan pembangunan hutan bagi penghasilan kayu getah dan lateks.
"Hasil siasatan JAS, satu notis arahan sudah dikeluarkan pada 10 Mac 2021 kepada penggerak projek kerana terdapat perubahan kepada konsep asal yang dilaksanakan di tapak itu, iaitu ladang hutan itu telah ditanam dengan pokok bukan pokok getah klon balak.
"Kita hanya menerima permohonan bagi pertukaran komponen kepada tanaman durian daripada pokok getah itu pada bulan lalu.
"Ketika ini, kita sedang meneliti permohonan itu dan kemungkinan perlu dibuat laporan EIA baharu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan sama ada wujud unsur rasuah dan salah laku dalam pembangunan ladang durian di Gunung Inas lapor Berita Harian
Benda kotim ni, selalunya diam jer lepas tu
ReplyDeletePost a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!