Sebenarnya.. Najib Dah Cipta Sejarah..

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib sekali gus menyaksikan perdana menteri keenam itu kecundang dalam rayuan akhirnya di peringkat tertinggi setelah empat tahun kes itu berlangsung.

Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang kira-kira 5.43 petang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam diiringi beberapa kenderaan polis dan tiba di penjara pada 6.47 petang.

Ini menjadikan satu sejarah buat negara telah di catat, apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan itu sekali gus menjadikan Najib sebagai bekas Perdana Menteri pertama di Malaysia yang dipenjarakan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 4 Julai 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan berkenaan sebelum Najib memfailkan petisyen rayuan.

Selepas hampir empat tahun perbicaraan kes dijalankan, akhirnya Mahkamah Persekutuaan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya, hari ini.

Maka dengan sabitan pertuduhan berkenaan, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun, berkuatkuasa hari ini.

Beliau dilaporkan dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda meninggalkan Istana Kehakiman, Putrajaya tepat jam 5.45 petang tadi.

Sebelum ini, beberapa tokoh dan figura politik negara pernah mengalami nasib sama seperti Najib, ia termasuk individu menjawat jawatan tinggi seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar serta beberapa pemimpin parti politik.

Antaranya, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan penyalahgunaan kuasa pada 1999.

Pada tahun 2000, Anwar yang juga Presiden PKR dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun kerana didakwa lakukan kesalahan di luar tabie.

Bagaimanapun pada 2004, Mahkamah Persekutuan mengugurkan sabitan kesalahan liwat kerana pihak Pendakwa Raya gagal mengemukakan bukti kukuh dan beliau dibebaskan.

Anwar sekali lagi ‘diheret’ ke penjara untuk menjalani lima tahun hukuman selepas sabitan liwat kedua terhadapnya dipertahankan pada 2015.

Beliau bagaimanapun, mendapat Pengampunan Diraja daripada Sultan Muhammad V dan dibebaskan dari penjara pada 16 Mei 2018.

Selain Anwar, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut pernah dipenjarakan pada 1987 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bekas Menteri Kewangan itu ditahan selepas ditahan dalam Operasi Lalang atau Ops Lalang bersama 106 ahli politik dan aktivis, kononnya untuk mengelak rusuhan pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah pada 1997, Guan Eng turut dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948 kerana menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap pelaksanaan keadilan di Malaysia.

Ia susulan perbicaraan kes rogol gadis bawah umur yang melibatkan bekas Ketua Menteri Melaka,Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Selain Anwar dan Guan Eng, tokoh politik lain yang pernah dihukum penjara adalah bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim.

Terdahulu, Mokhtar dijatuhi hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib pada 1982.

Namun, hukuman mati tersebut, kemudiannya diubah kepada hukuman penjara seumur hidup. Beliau kemudiannya dibebaskan pada 10 Julai 1991, selepas menerima Pengampunan Diraja.

Satu lagi kes berprofil tinggi yang mengemparkan negara adalah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada 2007.

Mahkamah Persekutuan pada 29 September 2005 mengekalkan sabitan dan hukuman 12 bulan penjara terhadap Mohamad Khir.

Pada 29 Mac 2016, Mohamad Khir menghabiskan dua bulan terakhir hukuman penjaranya dengan Tahanan Kediaman di bawah pengawasan Pejabat Parol Klang.

Selain Mohamad Khir, seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor, iaitu Datuk Seri Harun Idris juga pernah menjalani hukuman di Penjara Pudu pada 1977.

Beliau menjalani hukuman itu selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM250,000 dari Hong Kong and Shanghai Banking Corporation.

Bagaimanapun, pada 1 0gos 1981, Harun telah dibebaskan oleh Lembaga Pengampunan.

Inilah antara senarai nama pemimpin politik di Malaysia yang pernah menjalani hukuman penjara atas sabitan kesalahan yang dilakukan mereka.

Jelas, badan kehakiman dan sistem perundangan negara berfungsi tanpa mengenal warna kulit, kedudukan dan pangkat sekali gus mengekalkan prinsip ‘siapa pun yang bersalah tidak akan terlepas daripada hukuman’ – Malaysiapost

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post