Dipenjara 12 Tahun, Denda RM210 Juta, Najib Masih Kekal Sebagai MP?


Berikut adalah sebahagian dari Perkara 48 yang dipetik dari Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan tentang kriteria yang boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

(1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika--

(a) dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal; atau

(b) dia seorang bankrap belum lepas; atau

(c) dia memegang sesuatu jawatan berpendapatan; atau

(d) setelah dinamakan untuk pemilihan ke mana-mana satu Majlis Parlimen atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri, atau setelah bertindak sebagai ejen pilihan raya bagi seseorang yang dinamakan sedemikian, dia tidak menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya yang dikehendaki oleh undang-undang dalam masa dan mengikut cara yang dikehendaki sedemikian; atau

(e) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah-wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau

Fasal 48(1)(e) telah dipenuhi oleh Najib, Bekas Presiden UMNO tetapi beliau masih dikekalkan sebagai Ahli Parlimen oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun.

Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan mengulas mengenai perkara ini..

NAJIB TELAH HILANG KELAYAKAN SEBAGAI MP

Jika dibaca Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan amat jelas bahawa Najib Razak telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Perkara 48(1) menyatakan seperti berikut:

“Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika-

48 (1)(e) : dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas;”

Keempat-empat syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen itu ada pada Najib Razak.

Pada 23 Ogos 2022 Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menjadi mahkamah tertinggi dalam Persekutuan Malaysia telah menjatuhkan hukuman bahawa Najib dipenjarakan selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta.

Sehingga hari ini Najib Razak tidak mendapat pengampunan bebas.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah keputusan terakhir dalam sistem mahkamah di Malaysia. Tidak ada mahkamah yang lebih tinggi lagi daripada Mahkamah Persekutuan dalam sistem perundangan di Malaysia.

Walaupun Najib Razak ada memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi prosiding pengampunan diraja itu belum didengar. Lembaga Pengampunan Diraja bukannya mahkamah.

Pengampunan Najib kepada Yang di-Pertuan Agong mesti atas nasihat Perdana Menteri. Jika sekarang, nasihat itu mesti datang dari Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

Dari segi undang-undang, sabitan kesalahan Najib Razak dalam pertuduhan dalam Kes SRC International adalah kekal. Hukuman Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta adalah berkuatkuasa sekarang.

Tidak ada penggantungan perlaksanaan (stay of execution) diberikan oleh Mahkamah Persekutuan kepada Najib Razak.

Ini bermakna semua syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen ada pada Najib sekarang. Agak pelik dan aneh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun memutuskan bahawa Najib masih kekal sebagai ahli Parlimen Pekan.

Memang benar Najib Razak telah memfailkan prosiding semakan (review) di Mahkamah Persekutuan supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Najib agar keputusan lima orang hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tunku Maimun pada 23 Ogos lalu disemak oleh corum hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang lain.

Tetapi permohonan semakan oleh Najib Razak itu bukannya satu penggantungan perlaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Tidak ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa jika seseorang ahli parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah maka kelayakannya sebagai ahli parlimen tetap kekal.

Sebaliknya apa yang dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu (yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda yang tidak kurang daripada dua ribu ringgit) dan dia tidak mendapat pengampunan bebas maka dia hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Sebagai seorang ahli Parlimen dan juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak Di bawah Perlembagaan saya menuntut supaya Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun mengkaji balik keputusannya tentang kelayakan Najib Razak sebagai seorang ahli Parlimen.

HASSAN ABDUL KARIM
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan

8 September 2022

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post