Mampukah Ismail Sabri Ulangi Kecemerlangan BN Pada PRU 1978?

BUKAN sahaja kesulitan besar dihadapi Datuk Hussein Onn pada 1970-an kerana mengetepikan beberapa tokoh veteran UMNO dengan memasukkan tenaga muda seperti Datuk Musa Hitam dan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam pentadbirannya, kes Datuk Harun Idris yang dipenjarakan oleh mahkamah dikatakan turut menjadi cabaran getirnya.

Dipercayai ia menjadi salah satu sebab penyusutan politik beliau.

Hussein sentiasa mengambil ‘langkah berhati-hati.’ Harun (1925-2003) adalah bekas Menteri Besar Selangor yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah pada 1977.

Dalam UMNO ketika itu Hussein menghadapi suasana tidak stabil di mana kes Harun menjadi isu politik yang mencabar. Menteri Besar itu mendapat sokongan daripada segolongan ahli Pemuda UMNO. 

Pada Mac 1976, Harun menghadapi tuduhan baharu pula. Pada 18 Mei 1976, beliau didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara dua tahun.

Setelah melalui proses rayuan, pada 24 Januari 1977 Harun didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun serta denda RM15,000. 

Ribuan penyokong menguasai kediaman Harun. Keadaan begitu tegang sehingga polis digunakan untuk berkawal di pintu keluar. Harun meringkuk dalam Penjara Pudu selama enam tahun.

Walaupun Hussein bertindak tegas menangani isu Harun, beliau yang ketika itu pemangku Presiden UMNO kemudiannya berjaya mengetuai kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) 8 Julai 1978. 

Namun, fasa dilaluinya selepas itu cukup mencabar. Beliau gagal memastikan kerusi presiden tidak ditandingi.

Menghadapi tentangan sengit daripada Sulaiman Palestin dalam pemilihan presiden pada 15 September 1978, Hussein bagaimanapun menang 898 undi berbanding Sulaiman 250 undi. 

Sebaik sahaja menjadi orang nombor satu, beliau terpaksa pula berdepan masalah memilih Timbalan Perdana Menteri apabila memilih Dr. Mahathir, bukannya Ghafar Baba, naib presiden UMNO lebih kanan dan pernah memangku jawatan Perdana Menteri.

Selain penahanan ‘Tiga Abdul’ di zaman pentadbirannya, kesan pemenjaraan Harun menjangkit ke survival politik Hussein. 

Dr. Mahathir yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri berterus terang ketika berucap di simposium mengenai pimpinan Melayu. 

Beliau menyatakan tidak pernah terjadi dalam sejarah orang Melayu di mana pimpinan berada dalam keadaan begitu berkecamuk atau kejujuran para pemimpin dipersoal.

Orang Melayu berpecah belah dan berkelahi sesama sendiri. Tuduhan bahawa UMNO sedang menghadapi krisis di zaman Hussein beransur-ansur diterima.

Menjelang awal 1981, Hussein menjadi Perdana Menteri selama lima tahun. Kerana cabaran politik dalaman parti, yang dikusutkan lagi keadaan kesihatan tidak mengizinkan termasuk pembedahan Coronary bypass, pada 16 Julai 1981 Hussein melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Dr. Mahathir.

Kes pemenjaraan pemimpin politik turut menjejaskan pentadbiran Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat. 


Pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakibatkan titik mula orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu. 

Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Ia turut membawa kepada penubuhan PKR yang hari ini antara parti pembangkang terkuat di negara ini. Kerana ‘penat’ berurusan dengan Anwar yang kuat laungan reformasinya, Dr. Mahathir kemudian menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada 2003.

Namun, tidak seperti Hussein, survival Dr. Mahathir dalam politik ibarat suatu seninya yang ‘sapu sahaja, janji boleh.’ 

Apabila tiba masanya untuk `mempergunakan’ seterunya, entah macam mana beliau sanggup berjabat tangan semula dengan Anwar pada 5 September 2016.

Itu 18 tahun selepas insiden pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998.

Mungkinkah agaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada menoleh sebentar mengamati semula rentetan sejarah pemenjaraan Harun dan Anwar tempoh hari?

Jika direnung semula kes SRC International dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak, pasukan peguam baharunya cuma meminta Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran rayuan, namun ditolak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman yang menyuarakan hal ini dilaporkan terperanjat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan pertukaran peguam serta penangguhan dalam kes perbicaraan bekas Perdana Menteri itu untuk membolehkan keadilan berjalan sebaiknya bagi kes SRC International.

Dikatakan dalam bab menangguh kes, Anwar didakwa sebagai ‘juara’ dalam penangguhan kes membabitkan dirinya di mahkamah.

Sejak 1998, apabila Anwar dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau berdepan kes mahkamah atas pelbagai pertuduhan. Sebut sahaja kes yang membabitkan Anwar, semua enjin carian pasti akan menemukan penangguhan kes beliau.

Dan sepanjang karier politik, Anwar dikatakan memang tidak pernah gagal menangguhkan sebutan kes beliau. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyanggah pandangan tersebut. 

Persoalan sama ada sejauh mana benar Ismail Sabri `menjauhi’ daripada membabitkan diri dalam kes Najib dan Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) akan dinilai oleh rakyat terutama ahli-ahli UMNO.

Adakah aura beliau akan menyamai Hussein yang mengetuai BN mencapai kejayaan cemerlang PRU 1978, dengan memenangi 131 daripada 154 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan? 

Seterusnya melangkah ke perebutan jawatan presiden untuk menang dalam pemilihan parti kelak?


*Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post