'No Anwar, No DAP, No Bersatu'; Mana Satu BN Nak 'Telan'?

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) yang memenangi 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini masih tidak menyatakan pendirian sama ada untuk membentuk jajaran politik baharu bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, setakat ini tiada rundingan dilakukan dengan mana-mana koalisi parti, sekali gus menafikan bahawa parti itu telah membuat keputusan menyokong PN mahupun PH.

“Di dalam hal ini, segala keputusan akan dibuat setelah jawatankuasa perundingan bertemu dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk kerajaan dan setelah Dewan Tertinggi BN memutuskan secara rasmi selepas mendengar semua maklum balas dari perundingan-perundingan yang telah saya sebutkan tadi. Tidak ada rundingan setakat ini yang telah dibuat.

“Jika mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan, mana-mana gabungan yang memasukkan BN bersama-sama dengan mereka adalah tidak benar,” katanya pada sidang media bersama ahli Parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Ahmad Zahid menambah, mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya akuan bersumpah (SD) menyokong mana-mana calon Perdana Menteri sebelum parti membuat keputusan adalah tidak sah.

“Kami memutuskan bahawa ketetapan dan arah parti yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah merupakan akta yang wajib diikuti oleh semua ahli Parlimen BN kerana kita bertanding atas tiket BN.

“Yang kedua, mana-mana individu yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya SD untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ia melanggar ketetapan parti.

“Ketiga, kita telah mengambil ketetapan bahawa ahli-ahli Parlimen BN hanya akan membuat keputusan untuk patuh kepada jawatankuasa perundingan yang telah kami bentuk untuk mengadakan rundingan-rundingan dengan pihak yang akan membentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen BN akan menghantar SD berkaitan sokongan pembentukan kerajaan baharu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada jam 2 petang.

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap Azhar dapat melanjutkan jangka masa waktu berkenaan.

“Kita harap Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat melanjutkan sedikit masa kepada waktu lebih fleksibel untuk kami mengemukakan SD setelah keputusan berdasarkan rundingan yang akan kami lakukan dengan mana-mana pihak,” katanya.

Istana Negara melalui kenyataan media pada Ahad memaklumkan, gabungan parti-parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi PRU15 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 tengah hari, Ahad.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dokumen dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Justeru, katanya, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua parti dan ketua gabungan parti politik dengan jumlah kerusi yang banyak memaklumkan Azhar bagi pembentukan kerajaan baharu.

PRU15 pada Sabtu menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi.

PN juga membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya menang 30 daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi ~ Sinar Harian

1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Simple jer....
    Tak payah sokong mana2 coalition.
    Biarlah pn dan ph menentukan siapa lebih bnyk sokongan. Yg terlebih sikit jumlah akan membentuk kerajaan.
    Duduk mana2 belah pun akan dikutuk dan dikecam. Berehatlah dulu dari melayan kecaman.
    Selesai masalah dalaman parti dulu. Biar pn atau ph memerintah dgn majoriti tipis. Yg baik sokong. Yang buruk bangkang.
    Rakyat lebih suka situasi sedemikian dpd menyokong penuh dan dikecam kemudian hari.
    Yang penting perlembagaan yg sedia ada jangan ada mangkuk ayun cuba nak ubah spt apa berlaku pada zaman pm7.
    Rakyat minta tunaikan janji..dia sibok nak kayakan anak dan kroni.
    Bukan kitab sucilah katakan....

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post