Lepas Telur.. Krisis Bekalan Sayur Pulak Melanda Negara...

Semalam, Bernama melaporkan bekalan telur ayam di pasar raya dan kedai runcit di lima negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Melaka dilihat semakin meruncing berikutan banyak pihak, termasuk pengguna dan peniaga mengakui berdepan kesukaran mendapatkan bekalannya ketika ini.

Pada 6 Dis lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.

Hari ini dalam satu kenyataan MAFS memaklumkan, bagi menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lalu, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membenarkan kemasukan telur ayam dari India hari ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian ditetapkan.

Dalam kenyataan MAFS memaklumkan, bagi menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lalu, pihaknya membenarkan kemasukan telur ayam dari India hari ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian ditetapkan.

“Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas daripada segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan.

Lepas telur.. Sayur pulak naik harga.. hmmm..

KUANTAN: Negara dikhuatiri berdepan krisis bekalan sayur lebih serius ekoran kekurangan sumber makanan itu khususnya di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands, dekat sini sehingga mencecah 20 hingga 45 peratus berikutan musim tengkujuh.

Antara sayur utama yang mengalami kekurangan adalah kubis bulat, tomato, salad, cili merah dan daun bawang sekali gus menyebabkan harganya di peringkat ladang meningkat antara 30 hingga 50 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, ekoran faktor cuaca, kekurangan bekalan sayur utama di Cameron Highlands kritikal ketika ini.

Katanya, hanya kubis bulat yang mengalami penurunan harga kepada RM1 sekilogram berbanding RM1.50 sebelum ini manakala sayuran-sayuran lain pula naik harga antara 30 hingga 50 peratus.

“Tomato misalnya naik sehingga RM6 sekilogram berbanding RM2 ke RM3 sebelum musim tengkujuh. Dari segi pengeluaran tomato, petani memaklumkan ia berkurangan sehingga 45 peratus. Sayur jenis tomato ini ia tidak masak jika tiada cahaya matahari dan bunganya gugur.

“Begitu juga salad, ia dijual RM5 sekilogram berbanding RM3 ke RM4 sebelum ini, cili merah RM10 sekilogram berbanding RM8 dan daun bawang RM12 sekilogram ketika ini berbanding RM3 ke RM8,” katanya di sini semalam.

Ee Mong berkata, ekoran faktor cuaca ketika ini, beliau percaya bukan sahaja sayur yang ditanam di kawasan tanah tinggi itu berkurangan malah di kawasan tanah rendah seperti sawi, terung dan timun juga menghadapi situasi sama.

Ini kerana katanya, untuk memperoleh hasil tanaman, ia memerlukan masa paling kurang sebulan.

“Sayur seperti tomato dan kubis bulat, ia memerlukan tiga bulan lebih jangka masa, baru dapat hasil,” katanya.

Beliau menjangkakan krisis bekalan sayur dan harga sumber makanan itu berlarutan berdasarkan kepada faktor cuaca di negara ini.

“Jika ikutkan jangkaan, musim tengkujuh ini berlarutan hingga akhir bulan Januari ini. Jika berakhir pada Februari pun krisis bekalan sayur ini tidak akan pulih. Ia mungkin pulih pada bulan Mac atau April, namun semuanya bergantung faktor cuaca yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah tidak menentu,” katanya.

Dalam pada beliau berkata, selain faktor cuaca, kekurangan bekalan sayur disebabkan kos input yang terlalu tinggi seperti baja kimia, racun perosak, jentera kecil dan mesin-mesin serta bijih-bijih benih.

Beliau berkata, 80 peratus input dalam sektor itu adalah diimport kerana ia tiada pilihan disebabkan kualiti input tempatan kurang baik berbanding import.

“Kos input ini turut membabitkan soal gaji pekerja. Dulu, kita bayar RM1,200 sahaja tetapi majoriti ‘demand’ dan mahu gaji RM2,000. Jadi kita tetap kena bayar, jika tidak mereka akan lari ke tempat lain,” jelasnya.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan baharu ketika ini mengubah atau menyemak semula dasar yang dilaksanakan bagi memastikan krisis agromakanan negara termasuk bekalan sayur-sayuran yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan.

Jelasnya, krisis agromakanan negara didakwa berlaku disebabkan oleh dasar kerajaan yang tidak mahu membuka tanah-tanah baharu untuk pertanian dan tanah-tanah terbiar tidak diusahakan sepenuhnya.

Beliau berkata, pembukaan tanah baharu untuk pertanian penting bagi meningkatkan sumber agro makanan negara termasuk sayur-sayuran yang sedang berdepan krisis kekurangan bekalan ketika ini.

Menurutnya, banyak negeri mempunyai tanah yang boleh dibuka untuk bidang pertanian termasuk di Cameron Highlands tapi ia ‘terhalang’ oleh dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sendiri.

“Buka tanah baharu dan tanah-tanah terbiar sewakan kepada petani untuk kita usahakan sekali gus boleh meningkatkan sumber agro makanan termasuk sayur-sayuran. Daripada tanah terbiar begitu saja, apa hasil yang kita dapat?

“Di Cameron Highlands misalnya, ada kawasan sesuai dan boleh dibuka untuk pertanian tetapi dasar kerajaan di kawasan tanah tinggi ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibuka tanah baru.

“Jadi sayur yang sepatutnya kita boleh tanam di Cameron Highlands seperti bawang besar, lobak, brokoli, daun saderi, cili merah semuanya diimport. Bukan sikit tapi 70 peratus sayur diimport dari luar negara,” katanya. – UTUSAN

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post