Pilihan Raya Negeri (PRN), Ujian Terbesar Buat Anwar..

KALI terakhir sebuah parti politik meraih sokongan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen atau angka magis 148 ahli Parlimen adalah pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) tahun 2004.

Parti yang berjaya itu, tidak lain dan tidak bukan adalah Barisan Nasional (BN), dengan prestasinya boleh dianggap antara sejarah kegemilangan terbesar koalisi tersebut sehingga kini.

Di tambah BN pada PRU10 berdepan penolakan sokongan pengundi Melayu di bawah kepimpinan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, strategi koalisi itu mengetengahkan ‘Mr Clean’, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kedudukan sebelum berlangsungnya PRU11 adalah sangat bijak.

Hasilnya, Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah berjaya mengemudi BN memenangi 198 atau lebih 90 peratus kerusi Parlimen.

Kejayaan itu merupakan majoriti terbesar pernah dimenangi koalisi tersebut sejak pilihan raya tahun 1978.

Namun di bawah kepimpinan Pak Lah, BN buat pertama kalinya hilang penguasaan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, selain pentadbiran lima negeri pada PRU12, susulan peralihan sokongan pengundi bukan Melayu daripada koalisi itu.

Bahkan, prestasi lemah BN berterusan pada PRU13, diikuti kekalahan mengejut dalam PRU14 apabila pakatan pembangkang dipanggil Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya menawan Putrajaya.

Lebih mengejutkan, reputasi BN selaku koalisi dominan di negara kini semakin terhakis apabila parti itu mencatatkan prestasi terburuk pada PRU15.

Apabila tertubuhnya Kerajaan Perpaduan Malaysia dipimpin Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai pihak berpandangan komitmen parti menyokong kerajaan untuk memeterai perjanjian permuafakatan buat pertama kalinya menyaksikan kerajaan ini berjaya mencapai angka magis 148 ahli Parlimen selepas PRU11.

Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan itu terdiri daripada 82 ahli Parlimen PH, BN (30), Gabungan Parti Sarawak atau GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah atau GRS (6), Parti Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (PBM) satu kerusi, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan 2 ahli Parlimen Bebas.

Lantaran itu, tidak hairan terdapat pemerhati politik beranggapan Kerajaan Perpaduan yang dikemudi Anwar ini merupakan kerajaan paling kukuh pernah ditubuhkan selepas PRU, walaupun ia lebih berbentuk kerajaan campuran berbanding koalisi persendirian.

LUAR BIASA

Naratif itu dipersetujui oleh penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang melihat kedudukan kerajaan baharu tersebut unik dan di luar kebiasaan.

Jelas Sivamurugan, norma kebiasaan bagi sesebuah kerajaan mencapai angka magis 148 ahli Parlimen adalah berasaskan koalisi atau rundingan sebelum PRU, bukan selepas PRU sebagaimana dicapai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Saya melihat kejayaan unik kerajaan baharu ini terletak atas faktor personaliti Anwar yang menjadi daya penarik penting dalam meraih sokongan blok-blok parti yang ternyata berbeza ideologi dan pandangan politik sebelum PRU15.

“Dengan kebijaksanaan beliau meyakinkan ketua-ketua parti gabungan menyokong kerajaan bahawa usaha mencapai sokongan majoriti dua pertiga ini bukan sahaja penting untuk mengukuhkan kedudukannya.

“Anwar turut sedar keperluan angka sokongan 148 ahli Parlimen itu dapat memastikan kestabilan politik negara yang hilang sejak beberapa PRU terdahulu, kini kembali terjamin dalam memastikan usaha memacu ekonomi negara ke landasan sebenar dapat direalisasikan,” kata Sivamurugan.

Bagaimanapun, sokongan majoriti dua pertiga dikecapi Anwar dan Kerajaan Perpaduan mungkin boleh berubah dengan sekelip mata.

Kebimbangan berkenaan wujud sekiranya Pengerusi PH itu termasuk 27 menteri kabinet gagal mewujudkan satu naratif baharu yang boleh mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ini.

Dengan Anwar bakal berdepan ujian besar sebenar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang berbaki tidak sampai lima bulan lagi, sebarang keputusan negatif dicapai jajaran politik baharu diterajui PH berkemungkinan besar membawa kepada peleraian permuafakatan politik dicapai ketika ini.

“Agak sukar untuk mengunjurkan sokongan 148 ahli Parlimen terhadap Anwar akan kekal sehingga tamat lima tahun penggal pentadbiran kerajaan kerana Ahli Parlimen Tambun itu mungkin boleh mengulangi nasib malang Pak Lah pada PRU12.

“Lebih-lebih lagi tsunami pengundi Melayu yang beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pas atau dikenali ‘Gelombang Hijau’ semakin membesar saat ini.

“Anwar kena mencari naratif penyelesaian isu rakyat yang baharu bagi meningkatkan keyakinan pengundi terhadapnya.

“Ada juga kemungkinan keputusan PRN enam negeri itu bakal menjadi penentu sama ada permuafakatan gabungan parti menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia menjadi tetap atau sementara,” tegas Sivamurugan.

Bagaimanapun, Sivamurugan percaya pengalaman luas Anwar dalam bidang politik termasuk pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah pimpinan Dr Mahathir, bakal menjadi kunci kekuatan beliau untuk mengekalkan diplomasi memenangi hati parti-parti yang menyokong beliau ketika ini.

“Anwar sebenarnya sudah tidak mempunyai masa untuk beretorik dalam berpolitik.

“Sebaliknya sebarang janji-janji kerajaan untuk menangani permasalahan rakyat perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar dan polisi kerajaan yang stabil dalam masa singkat,” ujar beliau - Sinar Premium

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post