Ubah Yang Di Atas, Barulah UMNO Boleh Bangkit..

Penganalisis isu-isu semasa Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim menulis..

Kalau mencari tempat mandi Pertama teluk kedua pantai. Kalau mencari pemimpin negeri Pertama elok kedua pandai.

Rangkap pantun ini banyak teladan, iktibar. Kalau hendak menjadi pemimpin masa depan, ukurlah baju di badan sendiri. Jangan terlalu terikut cakap-cakap di kedai kopi serta kehendak penasihat atau pengikut tertentu yang suka mencanang molek-molek sedangkan realiti sebaliknya.

Harus beringat, kelas menengah Melayu yang kini kian membesar serta penyertaan agresif golongan muda yang ingin tahu soal politik, pentingkan kewibawaan pimpinan. Mereka tidak cenderung kepada retorik seronok sendiri. Pembangunan kemudahan asas tidak lagi berfungsi sebagai tarikan khas seperti dahulu.

Justeru, kepada ahli UMNO di seluruh negara, lebih utama lagi para perwakilan yang membawa mandat akar umbi mereka ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur selama tiga hari bermula hari ini, perlu beringat satu perkara ini – Apa sudah terjadi kepada UMNO hari ini?

Masuk kali kedua pilihan raya umum (PRU) pun tetap kalah. Yang cukup dibimbangi, siri kekalahan ini akan berterusan dalam enam pilihan raya negeri (PRN) bakal dilalui, sebelum kalah memanjang masuk gelanggang PRU16.

Faktor utama suramnya UMNO kerana penolakan pengundi Melayu terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta berikutan wujud alternatif Melayu Islam yang jelas, iaitu Perikatan Nasional (PN).

PN dikatakan menjanjikan pimpinan Melayu Islam lebih bersih dan berintegriti selain faktor media sosial yang dimainkan lebih kuat oleh mereka. PN sangat pandai memainkan persepsi. Para pemimpin mereka bijak sorokkan segala kerosakan yang menjadi semasa pandemik Covid-19 dan darurat tempoh hari. Demikianlah juga licik memainkan isu rasuah dan ‘kleptokrat’ dalam UMNO. Maka dengan itu Melayu memang nampak PN sebagai alternatif yang jelas.

Sementara UMNO pula mungkin tidak berjaya menunjukkan persepsi mampu menjadi lebih bersih selepas 2018. Malah dalam UMNO pula, cuba analisis pandangan Naib Ketua Pemudanya, Shahril Sufian Hamdan berhubung pasca PRU15 dan perkembangan peningkatan pelapis muda dalam UMNO.

Jadi, kunci untuk selesaikan masalah yang membadai imej UMNO waktu ini adalah menyedari bahawa masalah itu wujud. Ini masalah utama sekarang, iaitu pemimpin-pemimpin UMNO masih percaya pada mitos bahawa merekalah yang akan menjadi penyelamat kepada UMNO. Sedangkan telah berlaku dua PRU pun masih lagi merasakan diri boleh jadi penyelamat. Kalau baru sekali PRU, okey lagi.

URBAN

Dan UMNO pun sebenarnya susah untuk memenangi hati para pengundi Melayu sebab pilihannya ada dua, iaitu melawan balik Pas/PN dengan retorik lebih ekstrem atau membawa orang Melayu ke tengah. Tetapi trend menunjukkan Melayu lebih dikenali dengan naratif lebih ekstrem. Lainlah jika UMNO betul-betul mengubah pucuk pimpinan dari atas yang mampu membawa naratif baharu.

Cabarannya amat besar. Apa pandangan jika PN yang memerintah negara? Dikatakan kalau PN/Pas memerintah, memang lagi teruklah ekonomi negara. Pelabur luar dikatakan semuanya tidak yakin lagi dengan Malaysia. Justeru, lebih baiklah UMNO yang memerintah berbanding PN/Pas.

Apa patut dibuat UMNO? UMNO kena ubah semua yang berada di peringkat atas. Itu langkah pertama. Kalau ubah pun, apa jaminan orang Melayu akan balik ke UMNO? Tiada jaminan juga tetapi dikatakan ramai yang undi PN pun disebabkan protes kepada UMNO. Jadi, UMNO tidaklah hilang semua sokongan Melayu. Seperti cadangan Khairy Jamaluddin semasa dia berkempen hari itu, UMNO perlu menjadi parti lebih urban, mampu menarik undi golongan muda Melayu yang inginkan politik lebih bersih dan bijak. Mungkin itu satu cara juga.

Untuk langkah jangka pendek, menukar pimpinan. Memang kena ada yang berani step up dan bertanding dalam pemilihan parti. Dan kena ada ramai, bukan seorang dua sahaja.

Untuk jangka masa panjang, perlu ada lebih ramai orang baharu dan muda masuk UMNO di semua peringkat. Sebenarnya ramai orang muda yang percaya pada perjuangan UMNO. Cuma tidak nampak macam mana dia nak naik kalau terlalu banyak halangan dan kawalan daripada golongan tua dan lama. Kena ambil contoh DAP. DAP berjaya ‘merekrut’ dan melatih pemimpin-pemimpin muda dan progresif. Bahkan membina jalan untuk mereka bertanding dan menang.

Ya, ramai penyokong kepimpinan semasa menyatakan walaupun UMNO kalah teruk di PRU15 tetapi menjadi kingmaker untuk penentuan Kerajaan Persekutuan serta mendapat jawatan enam menteri penuh dalam kerajaan perpaduan. Adakah ini sesuatu boleh dibanggakan kepada sebuah parti yang pernah mendominasi politik negara lebih 60 tahun? Menyertai Kabinet sahaja tidak cukup untuk menyelamatkan riwayat UMNO.

Oleh itu, suara lantang untuk perubahan dan reformasi ke atas kepimpinan seharusnya tidak dipinggirkan agar parti keramat ini kembali menjadi pilihan pengundi.

Malah, ahli UMNO hendaklah berani menyatakan pendirian mereka mengenai hala tuju dan masa depan parti. Pemilihan parti adalah satu platform ahli UMNO untuk menyatakan sokongan ke atas kepimpinan semasa atau melakukan total reform ke atas kepimpinan UMNO. Ia juga sebagai respons ahli UMNO ke atas kekalahan besar semasa PRU15, sama ada merasakan pemimpin semasa perlu meneruskan pemulihan

UMNO atau memilih pemimpin baharu untuk membawa perubahan lebih segar. Sebab satu kenyataan yang pahit ketika ini ialah menyokong UMNO adalah satu liabiliti.

Bertandang ke WTC mulai hari ini, para perwakilan harus bijak timbang-timbangkan daripada terjerumus ke dalam ‘politik putar alam.’ Agar dijauhkan akar umbi UMNO daripada menjadi mangsa gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah.

Asal tulisan dari SINI

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post