Bekas Setiausaha Politik KM Melaka Didakwa Terima Suapan RM408,000

MELAKA: Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas 12 pertuduhan menerima suapan bernilai keseluruhan RM408,736 pada 2017 dan 2018.

Datuk Rosli Hasan, 52, dituduh sebagai pegawai badan awam, iaitu setiausaha politik kepada Ketua Menteri Melaka di Jabatan Ketua Menteri Melaka, menerima suapan daripada seorang lelaki dalam bentuk khidmat pengubahsuaian rumah milik isterinya, Wan Ranazima Wan Abdul Rashid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2017 hingga Februari 2018 membabitkan pengubahsuaian rumah di alamat No 24 Jalan Pokok Mangga 6A, Taman Pokok Mangga dengan kos RM323,736.

Bagi pertuduhan kedua hingga 12, Rosli dituduh menerima suapan wang RM85,000 melalui bayaran kad kredit didaftarkan atas namanya daripada seorang lelaki di CIMB Bank Cawangan Batu Berendam, pada masa dan tarikh berlainan antara 22 Mei 2017 hingga 19 Oktober 2017.

Semua suapan itu sebagai habuan bagi membantu syarikat D'Azlamad Sdn Bhd untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek merekabentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serba guna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina.

Projek berkenaan di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai keseluruhan RM5.28 juta.

Dia didakwa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Rosli mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar memandangkan tertuduh tidak bekerja dan bergantung kepada pencen RM2,018 sebulan menanggung dua isteri dan lapan anak, termasuk lima masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan Rosli dilepaskan dengan jaminan RM80,000 seperti dimohon peguam berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali, selain menetapkan sebutan semula 16 Mei depan - BH

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post