Selepas Melaka, Adakah Johor Pula Akan Bertukar MB?

SELEPAS pertukaran Ketua Menteri Melaka, persoalan yang timbul sekarang adakah negeri-negeri lain di bawah kekuasaan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan selamat, tanpa sebarang rombakan?

Sedikit ulang kaji, tentang negeri-negeri yang didominasi mahupun dikepalai oleh BN, pastinya, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.

Untuk Perak dan Pahang sebarang perubahan terhadap pentadbiran agak tipis ketika ini, memandangkan kedua-dua negeri ini dikendalikan selepas PRU ke-14 masih mempunyai ikatan perjanjian dengan parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH). 

Kalau pun perubahan yang akan berlaku, pastinya perlu tercetus isu-isu besar di peringkat persekutuan, dan bagi saya ketika ini ia agak selamat buat kepimpinan sedia ada.

Perak walaupun bukan didominasi oleh BN namun atas prinsip kelangsungan pemerintahan, PH telah memberikan ruang mengetuai pentadbiran kepada UMNO, situasi ini berbeza dengan Pahang yang sememangnya BN lebih dominan dan tiada khilaf di situ.

Johor, seolah-olah pentadbiran Menteri Besar semasa seperti berada di hujung tanduk. 

Kenapa saya kata begitu, kalau dilihat pada analisis, sebelum kejatuhan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sebagai Ketua Menteri Melaka, terdapat beberapa petunjuk (lima secara jelasnya) yang membawa kepada perubahan tampuk kepimpinan ini.

1. Ketua Menteri tidak bertanding Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT). Ini amat berbeza dengan amalan-amalan terdahulu, kerana ia merupakan batu loncatan untuk seseorang itu terus ke hadapan.

2. Selepas pemilihan, menang atau kalah, kebiasaannya, ketua perhubungan negeri yang dilantik ialah Menteri Besar mahupun Ketua Menteri. Malangnya, selepas tamat MKT, yang dilantik di Melaka ialah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, secara tidak langsung menunjukkan siapa yang lebih mesra di peringkat persekutuan.

3. Pada masa sama, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga tidak kelihatan menyokong tindakan pusat dalam mewujudkan Kerajaan Perpaduan, yang menggambarkan bahawa beliau tidak sehaluan dengan kepimpinan utama.

4. Beliau juga gagal mendapat sokongan padu dari ketua-ketua bahagian yang baru dipilih, malah tiada suara yang mempertahankan beliau ketika kemelut memuncak.

5. Beliau juga tidak kelihatan di majlis-majlis rasmi Presiden UMNO, yang merangkap Timbalan Perdana Menteri, pastinya menimbulkan banyak tanda tanya buat akar umbi.

Mari kita menyelusuri pula kayu ukur di atas dengan negeri Johor. Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak bertanding MKT seperti menteri besar Perak dan Pahang, menunjukkan beliau tidak mempunyai kekuatan (atau tidak meyakini kekuatan) di peringkat akar umbi. 

Walaupun terdapat beberapa bahagian mendesak untuk beliau bertanding Ketua Pemuda namun beliau hanya menawarkan diri sebagai Ketua Bahagian Simpang Renggam sahaja.

Begitu juga indikator ke-2, beliau bukan dilantik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Negeri, tetapi Menteri Pengajian Tinggi yang juga mantan menteri besar yang mengisi jawatan tersebut kini.

Indikator ke-3 paling ketara, kerana beliau antara yang paling lantang menentang Presiden dan keputusan parti menyertai Kerajaan Perpaduan dan pernah digelar “bad boy”, apatah lagi beliau kelihatan lebih mesra dengan golongan berhaluan kiri dalam UMNO itu sendiri.

Indikator ke-4 agak tidak memberi kesan kerana walaupun ada beberapa kenyataan menyokong beliau selepas krisis kepimpinan Melaka, ironinya sokongan ini tidak akan memberi kesan, apatah lagi, ramai mana dari penyokong UMNO ini akan bertindak “liar” atau sanggup sama-sama jatuh dengan beliau.

Indikator ke-5, juga agak ketara, kerana beliau kerap juga “MIA” di acara-acara besar UMNO.

Bagi saya, analisis saya mungkin tidak membawa apa-apa makna. Kerana keputusan ini merupakan hal prerogatif presiden, terserah kepada beliau siapa yang beliau rasa bersesuaian untuk memimpin negeri dan parti di peringkat negeri.

Akan tetapi, bagi saya, “chemistry” antara negeri dan pusat amat penting. Bagaimana nak bergerak ke hadapan, jika masih terdapat sekelumit zarah tidak kepercayaan di hati masing-masing.

Apa jua yang berlaku, rakyat perlu diutamakan, seni politik dalam politik ini perlu dihentikan kerana pangkat adalah amanah yang perlu dilunaskan. Jangan kerana ego, kerajaan gagal berfungsi sebaiknya, dan akhirnya kita akan sentiasa kebelakangan dari yang lain.

Teguran saya secara terbuka, jadilah ahli parti yang baik, bukan ahli politik mendabik dada.


Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri 
Penganalisis Politik dan Kolumnis

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post