KUALA LUMPUR: Kerajaan dijadual menerima kelima-lima kapal tempur pesisir pantai (LCS) serentak pada 2029 tetapi memerlukan kos tambahan sebanyak RM2.098 bilion lagi untuk menyiapkan projek tersebut.
Tempoh masa pembinaan lima kapal tersebut turut dilanjutkan kepada 83 bulan lagi sebelum kapal-kapal diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perkara tersebut antara dirumus Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di dalam laporan prosiding berhubung kemajuan projek pembinaan LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei lalu.
Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi dalam rumusan jawatankuasa itu berkata, menerusi kontrak asal, kelima-lima kapal tersebut sepatutnya diterima TLDM pada tahun 2022.
“Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima unit, namun, kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion.
PERALATAN
“Ini berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion),” kata beliau di Parlimen semalam.
Laporan penuh berhubung kemajuan projek pembinaan LCS boleh didapati di laman sesawang PAC mulai semalam.
Selain itu, Shu Qi berkata, PAC berpendapat, tindakan Kementerian Pertahanan membelakangkan Peguam Negara (AGC) dalam menandatangani perjanjian tambahan (SA 6) juga satu tindakan yang tidak wajar.
Kata beliau, perkara itu juga boleh memberikan kesan perundangan terhadap kerajaan dan ia tidak sepatutnya berulang.
Selain itu, katanya, melalui pelan mobilisasi terkandung dalam SA 5 ditandatangani pada 31 Mei 2022, Kementerian Pertahanan perlu merancang dengan lebih teliti selepas kegagalan menepati jadual asal pembinaan bagi enam LCS yang sepatutnya siap pada 2023.
“Isu utama berkaitan rekaan terperinci LCS belum diselesaikan. Kini berada pada kadar 96 peratus siap di peringkat kontraktor pembinaan dengan hanya 84 peratus sahaja telah melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group dari Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.
“Kontraktor pembinaan memberi jaminan bahawa rekaan terperinci perlu disiapkan sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA 6.
SAHAM
“Bagaimanapun, keputusan kerajaan mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) melalui Ocean Sunshine Bhd. (SPV) dapat membantu mengembalikan kepercayaan pemegang saham, pihak bank dan pihak pembekal dalam pelaksanaan projek pembinaan LCS,” katanya.
Pada 4 Ogos 2021, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS disiapkan walaupun kontrak projek itu, yang diberikan secara rundingan terus telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion untuk menyiapkan lima kapal dan diserahkan pada Ogos 2022.
Pembekalan enam buah LCS oleh BNS itu menjadi isu ‘panas’ selepas pendedahan bahawa projek berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.
Berdasarkan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dinyahklasifikasikan, Kementerian Pertahanan telah membayar sebanyak RM5.94 bilion kepada BNS daripada kos keseluruhan projek berkenaan berjumlah RM9.13 bilion ketika itu. – UTUSAN

Post a Comment
Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...
Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!