Yasin Lepas, Bebas Kes Dadah, Tapi..

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi memerintahkan penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenan Sultan Selangor.

Hakim Faiz Dziyauddin mengeluarkan perintah itu setelah melepas dan membebaskan Muhammad Yasin daripada ketiga-tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.

Mahkamah berpuas hati penyanyi itu melakukan perbuatan seperti dalam pertuduhan namun dia tidak waras ketika kejadian itu.

Pada 17 Oktober lalu, seorang pakar perunding psikitari yang juga satu-satunya saksi pembelaan ketika memberi keterangan mencadangkan Muhammad Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.

Sehubungan itu, pakar psikitari berkenaan mencapai kesimpulan bahawa tertuduh tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami kecelaruan bipolar dan ‘hyperthyroidism’.

Menurut saksi pembelaan itu, hasil pemerhatian terhadap Muhammad Yasin menunjukkan, pesakitnya berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post