Anwar Perlu Selamatkan Kerajaan Perpaduan

Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak

Kemenangan calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kelmarin dengan majoriti jauh lebih besar iaitu 37,220 undi berbanding 27,179 undi diperoleh calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setahun lalu memberikan isyarat jelas dan kuat mengenai beberapa perkara sepatutnya diinsafi oleh para pemimpin utama UMNO/Barisan Nasional (BN) dan kerajaan perpaduan.

Peningkatan majoriti undi sebanyak 36.94 peratus diraih oleh Pas/Perikatan Nasional (PN) ini dalam keadaan peratus keluar mengundi 16.39 peratus lebih rendah menunjukkan UMNO/BN semakin kuat ditolak rakyat.

Pada PRU15, undi diperoleh calon Pas, Che Alias Hamid ialah 65,714 manakala calon BN, Datuk Seri Ahmad Said ialah 38,535. Calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin pula memperoleh 8,340 undi. Dalam PRK Kemaman kelmarin, Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hanya 27,778 undi.

Beberapa perkara menarik daripada catatan undi ini ialah prestasi calon BN teruk. Undi diperoleh iaitu 27,778 jauh lebih rendah berbanding majoriti kekalahannya, iaitu 37,220. BN sahaja kehilangan 10,757 undi dalam PRK ini jika dicampur dengan undi PH dalam PRU15 bermakna BN-PH kehilangan 19,097 undi. Pas pula hanya kehilangan 716 undi walaupun peratusan keluar mengundi menurun menjadi hanya 65 peratus.

Apakah punca kekalahan teruk BN walaupun calon yang diturunkan amat kuat, iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri sendiri turun berkempen di sana?

Berdasarkan kajian, terdapat tiga punca utama penolakan pengundi Kemaman kepada BN.

Pertama, penolakan mereka ke atas kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Ahmad sebagai Pengerusi UMNO Terengganu. Ramai ahli dan penyokong UMNO Kemaman yang ditemui menyatakan walaupun sayang kepada UMNO, mereka tidak akan kembali mengundi UMNO selagi kedua-dua pemimpin ini masih menjadi ketua.

Kedua, penolakan mereka ke atas kerjasama BN dan PH yang mana DAP adalah salah satu parti komponennya. Kepada pengundi Kemaman, nama DAP adalah tabu yang bila disebut mendatangkan rasa kemarahan. Bila UMNO bekerjasama dengan DAP sekali gus UMNO juga ditolak. Selagi UMNO masih bekerjasama dengan DAP maka selagi itu UMNO akan ditolak di Kemaman.

REFORMASI MATI

Ketiga, ketidakpuasan hati pengundi Kemaman dengan prestasi Anwar sebagai Perdana Menteri dan dengan prestasi kerajaan perpaduan. Dalam satu kaji selidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), hanya 21 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Anwar dan 15 peratus berpendapat kehidupan mereka bertambah baik selepas PH-BN memerintah.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Anwar dan kerajaan perpaduan tidak lagi bersikap self-denial dan mengambil satu langkah drastik untuk mengubah keadaan bagi menyelamatkan kerajaan perpaduan sebelum terlambat. Ambillah segala dapatan kajian dan komentar badan dan individu berwibawa untuk pembaikian.

Buatlah introspeksi dalaman mengapa Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata, reformasi mati setelah Anwar menjadi Perdana Menteri. Begitu juga dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center yang menunjukkan hanya 31 peratus responden berpendapat negara sejak dipimpin Anwar berada pada hala tuju yang betul, hanya 37 peratus berpuas hati dengan usaha beliau memerangi rasuah dan hanya 32 peratus responden berpuas hati dengan usaha beliau mewujudkan pertumbuhan ekonomi.

Semaklah segera mengapa kolumnis sebuah portal berita memberi markah gagal, hanya 43 peratus kepada Anwar manakala editornya memberi markah D kepada Anwar. Mengapa mereka berkata Anwar pandai bersyarah dan bercakap banyak tetapi tiada hasil untuk ditunjukkan dan syarahannya tidak diterjemah ke dalam bentuk tindakan?

Perlu disemak juga tulisan penganalisis luar, Dr. Bridget Welsh yang menyebut Anwar hanya pandai bercakap, banyak berjanji, suka beralih dari satu isu ke isu lain, suka berjalan ke luar negara, mengetepikan tugasnya di Kementerian Kewangan dan setiap kata-katanya mengenai rasuah tiada wibawa.

TIPIS

Begitu juga komentar Gareth Leather, penganalisis kanan ekonomi di London yang berkata, peluang amat tipis untuk melaksanakan pembaharuan dan memulihkan ekonomi di bawah pentadbiran Anwar.

Itu di pihak Anwar dan kerajaan perpaduan. Di pihak UMNO sendiri, segeralah lakukan rejuvenasi diri dengan menukar pimpinan lama yang tidak disenangi oleh rakyat bawahan secepat mungkin.

Lebih utama lagi, fikirkanlah balik bentuk kerjasama dengan DAP, adakah menguntungkan UMNO? Mengapa ramai pengundi Melayu berkata dengan pendirian dan sikap ditunjukkan DAP dalam banyak hal akan mengancam kepentingan Melayu dan Islam di negara ini?

Sekiranya UMNO/BN tidak juga insaf dengan keputusan PRK Kemaman kali ini setelah ditolak sebelumnya dalam PRU15 diikuti pilihan raya negeri (PRN), tidak mustahil UMNO/BN menunggu masa sahaja untuk berkubur di Terengganu dan mungkin juga di seluruh negara.

Susulan ini, kekalahan teruk BN-PH tentunya membuka ruang untuk cakap-cakap mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan di tengah penggal. Ia tidak bagus untuk kestabilan negara dan untuk mengelak ini daripada berlaku, maka UMNO, Anwar dan kerajaan perpaduan perlu mengambil langkah segera bagi menenangkan keadaan.

Terpaling penting, pastilah segera mengisi kekosongan jawatan menteri serta merombak Kabinet dengan menggugurkan menteri-menteri berprestasi rendah dan memasukkan tokoh-tokoh lebih berwibawa seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani atau mana-mana tokoh korporat dari luar ke dalam Kabinet untuk menangani isu-isu kewangan dan ekonomi. – UTUSAN

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post