Isu PM Bukan Melayu, 'Senjata Dah Makan Tuan'?

Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Datuk Dr Kassim Thukiman

'Perdana Menteri Malaysia bukan orang Melayu'. Ia antara isu menimbulkan pelbagai persepsi apabila dibangkitkan secara terbuka orang politik apatah lagi bukan Melayu. 

Isu ini kembali bergema apabila veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menimbulkannya ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia dekat Manchester, United Kingdom (UK) pada 29 November lalu.

Namun, jauh sebelum itu, khasnya pada 18 Jun 2000, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA pernah menyatakan orang bukan Melayu tetap berpeluang menjadi Perdana Menteri 'jika diterima' semua kaum di negara ini.

Bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir ketika itu dilihat sebagai satu amaran serius mengenai soal ketuanan Melayu, terutama jika mereka terus berpecah-belah serta lalai dengan keadaan hanya merugikan bangsa pada masa hadapan. Cuma, kenyataan Kit Siang selepas setahun Kerajaan Perpaduan berkuasa adalah sesuatu amat berani dan berisiko kepada kestabilan kerajaan ketika ini.

Memang benar, Perkara 43 Perlembagaan tidak menyatakan secara khusus kriteria menjadi Perdana Menteri mestilah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Berdasarkan Perkara 43 (2)(a), Perdana Menteri boleh dilantik jika 'seseorang ahli Dewan Rakyat pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat'.

Justeru, secara literal sesiapa sahaja warganegara menjadi ahli Parlimen, layak menjadi Perdana Menteri, melainkan Perkara 43 (7) Perlembagaan menyebutkan individu mendapat taraf warganegara secara naturalisasi atau melalui pendaftaran di bawah Perkara 17 Perlembagaan dihalang daripada menjadi Perdana Menteri.

Jika diperhalusi, perkara itu bukan suatu perjuangan dinyatakan secara khusus dalam Perlembagaan DAP, namun kenyataan Kit Siang untuk mengangkat Perdana Menteri bukan daripada orang Melayu adalah satu daripada aspirasi terkandung dalam gagasan 'Malaysian Malaysia' diperjuangkan parti itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu boleh menjadi 'bola tanggung' kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan, sekali gus mengukuhkan pembinaan persepsi buruk orang Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan. Kenyataan itu bersifat paradoks.

Gagasan mustahil jadi realiti

Ia seolah-olah memberi mesej Kit Siang dan DAP tidak gembira dengan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan kerana mereka memiliki kerusi Parlimen lebih banyak berbanding PKR dan UMNO, tetapi wakil rakyat mereka tidak diangkat menjadi Perdana Menteri.

Persoalannya, adakah dilema ini boleh menjadi realiti atau sekadar fantasi. Jelasnya, untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang gagasan Perdana Menteri bukan Melayu agak mustahil menjadi realiti berasaskan beberapa wajaran.

Pertama, persempadanan semula dijangka dibentangkan pada 2026 berdepan risiko mengalami kegagalan. Sungguhpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa membuat persempadanan semula, pindaan persempadanan baharu itu perlu mendapat sokongan dua pertiga di Parlimen.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya didakwa akan memberi kelebihan kepada DAP untuk menambah kerusi, terutama di kawasan bandar. Maka, bilangan wakilnya dalam Parlimen akan bertambah. Namun, DAP perlu memahami pindaan persempadanan ini bukan berdasarkan sokongan en bloc, tetapi berdasarkan sokongan wakil rakyat tanpa mengira parti.

Sudah tentu kebanyakan wakil rakyat beragama Islam, sama ada di blok kerajaan atau pembangkang berjumlah 147 berpotensi menolak secara menyeluruh bagi menjaga kepentingan dan masa hadapan orang Melayu serta Islam.

Kedua, DAP perlu mendapat sokongan padu daripada wakil rakyat berbangsa Melayu dalam PKR, UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menerima gagasan Kit Siang. Gagasan Perdana Menteri bukan orang Melayu dijangka ditolak mentah-mentah wakil rakyat Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR.

Sementara itu, UMNO yang baharu sahaja menyesuaikan diri dengan PH pasti menentang habis-habisan kerana maruah dan harga diri juga terletak pada 'ketuanan Melayu'. Mereka tentu tidak sanggup jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada bukan Melayu.

Implikasinya, kemungkinan berlaku perpecahan dalam PKR antara kelompok Melayu dan bukan Melayu. Manakala UMNO dijangka menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan. GPS dan GRS pula berkemungkinan besar akan bersama UMNO dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk suatu gabungan baharu.

Ketiga, realiti politik di Malaysia sejak dahulu adalah berasaskan 'politik permuafakatan' dalam kalangan rakyat berbilang bangsa. Sejak lebih enam dekad sehingga terbentuk Kerajaan Perpaduan, citra politik permuafakatan menjadi model dalam membangunkan sebuah kerajaan dan negara bangsa Malaysia yang stabil.

Hikmah kebijaksanaan politik permuafakatan ini dilihat daripada tiadanya konflik besar antara kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969. Berdasarkan rekod sejarah, sebanyak 10 Perdana Menteri beragama Islam dan Melayu dipilih sejak 65 tahun lalu, sama ada daripada Barisan Nasional (BN), PN mahupun PH.

Ini menunjukkan semua parti berasaskan kaum ini menerima suatu kesepakatan, iaitu Perdana Menteri dilantik lebih baik daripada kalangan orang Melayu dan beragama Islam.

Keempat, orang Melayu pasti menentang gagasan ini seperti mana penentangan terhadap Malayan Union pada 1946. Bagi orang Melayu, sejarah orang Melayu di Singapura adalah 'bayangan hitam' kepada bangsa itu sekiranya pemimpinnya dipilih daripada orang bukan Melayu.

Perdana Menteri adalah kuasa eksekutif memiliki kuasa dan pengaruh besar dalam pembuatan dasar serta keputusan kerajaan. Jika gagasan ini diterima, kedudukan orang Melayu akan terpinggir dan keadilan kepada orang Melayu bukan suatu jaminan.

Bahkan beberapa perkara yang berhubung dengan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan kedudukan Raja-Raja sukar untuk dipertahankan sekiranya hilang kuasa eksekutif ini.

Kelima, apakah Kit Siang dan DAP sanggup mempertahankan gagasannya hanya semata-mata ingin melihat 'sejarah tercipta', tetapi mungkin membahayakan kestabilan politik dan perpaduan negara. Natijahnya, kenyataan Kit Siang hanya memberikan mileage kepada pembangkang yang sedang berusaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

PN pasti mengambil kesempatan atas isu ini untuk mengumpul kekuatan dan semangat baharu bagi membentuk sebuah kerajaan berasaskan gagasan Islam dan Melayu. Dengan sokongan 70 peratus orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN dijangka mendapat sokongan dan mandat rakyat lebih besar.

Untuk menjadi Perdana Menteri, ia bukan hanya sekadar faktor kemenangan besar diperoleh menerusi proses pilihan raya. Terdapat banyak faktor pemberat lain mesti diambil kira seperti sejarah, kedudukan sosioekonomi, kebudayaan, nilai tempatan, identiti kebangsaan dan konvensyen Perlembagaan.

Penulias adalah Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Artikel asal disiarkan di SINI


IKLAN


AULORA Socks with KODENSHI® direka menggunakan Fiber KODENSHI® yang membantu menyerap suhu badan pemakai sambil membekalkan jumlah tekanan lembut untuk sokongan yang menyeluruh dan selesa.

KEBAIKKAN AULORA Socks with KODENSHI® 

- Membantu melancarkan peredaran darah 
- Mengurangkan sakit, lenguh atau bengkak di kaki 
- Sesuai untuk mereka yang banyak berdiri dan berjalan 
- Sangat baik untuk Wanita mengandung dan selepas bersalin. 
- Menghilangkan bau kaki 
- Membantu masalah tidur 
- Memulihkan tumit kaki yang pecah atau mengelupas 
- Detoksifikasi

Jika berminat untuk mendapatkannya sila WhatsApp dengan klik pada imej di bawah



Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post