Jalan Berliku Ahmad Samsuri Nak Jadi PM

NARATIF Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bakal Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) dilihat berjaya mempengaruhi pengundi Parlimen Kemaman.

Ini terbukti apabila Pas dengan cemerlang mengekalkan status quo dengan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember lalu setelah Ahmad Samsuri menang dengan majoriti lebih besar iaitu 37,220 berbanding 27,179 undi yang dimenangi penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Saya bersetuju dengan pandangan penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali bahawa naratif itu mungkin berkesan setakat Parlimen Kemaman sahaja kerana pengundi melihat prestasi baik Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu selama dua penggal sejak 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, apabila berbicara untuk mengetengah Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri ia adalah bertentangan dengan realiti yang mempunyai pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan bukan senang untuk pemimpin Pas menerajui Putrajaya.

Sementara itu, Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan juga mempunyai telahan serupa apabila menyatakan pencalonan Ahmad Samsuri di PRK Parlimen Kemaman bukan strategi menjadikannya calon Perdana Menteri sebaliknya Pas bimbang gagal menang besar selepas Barisan Nasional (BN) meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Apabila menyentuh mengenai cabaran, sudah tentulah untuk menarik sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) kerana pemimpin dan rakyat di kedua-dua negeri itu sejak dari dahulu lagi tidak boleh menerima parti-parti yang membawa isu agama dan kaum sebagai bahan kempen.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dikatakan boleh juga diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.

Ini kerana beliau gemar berjenaka secara berlebihan sehingga baru-baru ini mendapat kecaman banyak pihak apabila menggelar seorang pemimpin politik dari Sarawak sebagai ‘tokong perut buncit’ yang tidak membuat kerja.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas sejak 2019 berasal Jerteh, Terengganu selalu digambarkan sebagai pemimpin beraliran sederhana kerana berkelulusan bukan dalam bidang agama yang mungkin boleh menarik sokongan Sabah dan Sarawak. Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang aeroangkasa dari University of Leeds, United Kingdom.

Dengan latar belakang itu, ia nampaknya tidak menghalang kerajaan Terengganu sejak 2020 melarang atlet gimrama dan gimnastik wanita daripada mengambil bahagian dalam temasya sukan kebangsaan atas sebab pakaian yang terdedah.

Walaupun larangan itu hanya terpakai ke atas wanita Islam, kumpulan hak asasi manusia mendakwa larangan tersebut merupakan ancaman terhadap hak wanita untuk bersukan dan memperkecilkan kesaksamaan gender, sekali gus merosakkan reputasi negara di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, persaingan sesama pemimpin Pas untuk menjadi Perdana Menteri juga dilihat tidak terlalu sengit kerana faktor keperibadian Ahmad Samsuri, 53, yang bersifat sederhana dan tidak mempunyai ramai musuh. Beliau seorang yang tidak kasar dan lembut orangnya ketika berhadapan dengan rakyat.

SAKAU

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu juga dilihat tidak menghadapi masalah mendapat restu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana pernah menjadi setiausaha politik beliau selama 10 tahun dari 2008 hingga 2018.

Satu lagi cabaran yang dihadapi Ahmad Samsuri untuk menerajui kerajaan di Putrajaya seperti yang ditegaskan Mazlan adalah halangan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini diuar-uarkan bakal menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin jika beliau melepaskan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Terdapat juga cakap-cakap ‘beliau dilatih’ untuk menjadi pemimpin masa depan.

Dengan majoriti 37,220 undi, ia membuka ruang kepada Pas untuk mengetengahkan calon Perdana Menteri mereka sendiri pada masa hadapan dan bukan hanya semata-mata daripada Bersatu sahaja.

Ia juga sedikit sebanyak memberikan kegusaran dalam kalangan kepimpinan Bersatu, kerana sebelum ini hanya pemimpin daripada parti itu yang dikatakan layak untuk menjadi Perdana Menteri walaupun mempunyai jumlah ahli Parlimen lebih kecil berbanding Pas.

“Saya fikir pada awalnya naratif di peringkat PRK Kemaman sahaja. Tetapi sekarang calon Perdana Menteri ideal itu mungkin menjadi lebih besar pada masa akan datang.

“Jadi, nampaknya ada sedikit kegusaran dalam kalangan kepimpinan Bersatu ini. Selain Muhyiddin, bakal pengganti akan datang ialah Hamzah, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai calon Perdana Menteri,” kata Mazlan.

Mazlan berkata, akan wujud persaingan antara Pas dan Bersatu di masa akan datang bagi menjaga survival parti masing-masing. Ujian pertama adakah Ahli Parlimen Larut akan menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada Ahmad Samsuri yang sebelum ini telah menyebut, “Kepada sahabat saya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar – selamat datang ke Parlimen.”

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dalam kenyataannya sebelum ini tidak menolak kemungkinan Ahmad Samsuri diangkat sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu di masa depan. Jelas beliau, Naib Presiden Pas itu mempunyai kelayakan dan personaliti yang baik.

Jika kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil iaitu “Ahmad Samsuri mungkin boleh dilantik sebagai Ketua Pembangkang” menjadi kenyataan, ia hanya permulaan kepada jalan berliku yang perlu ditempuh Naib Presiden Pas itu bagi menarik sokongan GPS dan GRS.

Pada masa sama, BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai strategi bertindak balas kerana komen-komen dalam media sosial agak positif terhadap Ahmad Samsuri yang disifatkan berusia muda, berkelayakan akademik tinggi dan tiada isu moral.

Beliau dikatakan layak menjadi Perdana Menteri Ke-11 kerana seorang pemimpin yang bukan datang dari asid deoksiribonukleik (DNA) UMNO yang sering dikaitkan dengan budaya ‘sakau’.

Bagaimanapun, mahu menjadi Perdana Menteri kena banyak bersabar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menanti selama 24 tahun. Tunggulah tamat penggal kerajaan perpaduan pada 3 Disember 2027 kelak.-UTUSAN

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post