Mahathir Kata Kerajaan Perpaduan Akan Tumbang, Jika..

 


PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perpaduan boleh tumbang sekiranya ada Ahli Parlimen pemerintah mengalih sokongan daripada Anwar Ibrahim tanpa keluar parti, sama seperti dilakukan lima wakil rakyat Bersatu kini.

Mengambil contoh situasi berlaku sebelum PRU15, bekas perdana menteri itu berkata kaedah berkenaan pernah digunakan 15 Ahli Parlimen Umno yang tidak lagi percaya terhadap Muhyiddin Yassin, menyebabkannya menyerahkan pentadbiran kepada Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, Perikatan Nasional (PN) masih mampu mengambil alih tampuk pemerintahan dengan mendapat sokongan lebih 111 wakil rakyat yang boleh dilakukan jika ada Ahli Parlimen blok kerajaan tidak menyokong lagi Anwar.

“Kita lihat kerajaan ini rasuah menekan rakyat, kalau tak suka kerajaan 30 orang (Ahli Parlimen) tolak Anwar nyatakan sokongan.

“(Boleh jadi) daripada Umno, Amanah atau PKR menyatakan sokongan mereka kepada kejatuhan Anwar sebagai perdana menteri,” katanya pada program Minggu Negarawan: Setahun kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Mahathir berkata, mereka kemudianya boleh memilih Ahli Parlimen sesuai dilantik menggantikan Anwar.

“Dengan itu parti lain termasuk PN boleh pilih orang lain seperti dahulu bila Muhyiddin dijatuhkan bila sokongan 15 orang (Ahli Parlimen Umno) tarik balik sokongan, Ismail Sabri jadi perdana menteri, perkara ini boleh diulangi sekarang,” katanya.

Setakat ini, lima Ahli Parlimen Bersatu menyokong pentadbiran Anwar namun kekal dalam parti iaitu Azizi Abu Naim (Gua Musang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli), dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pada forum itu berkata kerajaan perpaduan masih gagal menarik sokongan segmen Melayu dalam setahun pentadbiran mereka.

“Dalam konteks pilihan raya, pengundi Melayu nak satu kesatuan. Mula- mula ada Muafakat Nasional (MN), bila Umno dan PAS tak boleh bersekali, Melayu tertumpu kepada PN.

“Ke hadapan, Melayu akan ke satu blok. Akan tinggal sedikit sahaja minoriti dalam blok PH,” kata Hisomuddin - FMT

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post