Pelanggan Starbucks Dianggar Susut Hingga 40%

KUALA LUMPUR: Kunjungan ke premis jenama kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dianggarkan susut sehingga 40 peratus susulan tindakan boikot yang dilaksanakan secara meluas rakyat Malaysia ke atas produk yang didakwa memiliki kaitan dengan sokongan ke atas Israel, demikian mengikut RHB Investment Bank Bhd berdasarkan pemerhatiannya.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya, berkata gambaran itu menyaksikan persekitaran perniagaan pengendali Starbucks Coffee, Berjaya Food Bhd (BFood) bertukar saranan kepada 'berwaspada', memandangkan gerakan boikot terhadap jenama kopi terkemuka itu mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan, sekiranya tiada penyelesaian jangka dekat untuk konflik Israel-Hamas.

Selain itu, bank pelaburan itu berkata, keadaan selepas tempoh boikot mungkin tidak dapat pulih dengan begitu mudah dan BFood mungkin perlu berusaha keras untuk meraih semula bahagian pasarannya, ekoran persaingan yang sengit.

Justeru, katanya, perolehan tahun kewangan 2024 (Jun) adalah 25 peratus lebih rendah berbanding ramalan konsensus, dan RHB Investment Bank berpendapat harga saham masih belum mencerminkan risiko negatif yang menekan perolehan BFood.

"Hasil semakan lapangan, kami melawat beberapa cawangan Starbucks Coffee di pusat beli-belah ketika waktu puncak dan mendapati jumlah kunjungan pelanggan agak rendah berbanding tahap biasa, meskipun pusat beli-belah berkenaan sesak dengan pengunjung.

"Namun begitu, kebanyakan jenama pesaingnya menerima jumlah kunjungan pelanggan seperti biasa. Situasi ini dilihat lebih buruk berbanding yang dijangka, dan perkara ini mungkin akan mendesak Starbucks Coffee untuk menjalankan promosi dengan lebih agresif.

"Hal ini berkemungkinan menyebabkan margin untung kasar (GPM) menyusut dengan ketara. Malangnya, gerakan boikot ini terjadi pada waktu hujung tahun yang lazimnya menerima kunjungan pelanggan yang tinggi," kata dua Penganalisisnya, Tai Yu Jie dan Soong Wei Siang.

Menurut RHB Investment Bank, kehilangan penguasaan pasaran sebegitu mungkin bukan untuk sementara, kerana gerakan boikot terhadap jenama terbabit boleh menyebabkan pengguna mencuba pilihan lain, lantas memberi peluang kepada pesaing untuk memanfaatkan tindakan itu dan mengurangkan bahagian pasaran Starbucks Coffee.

"Peralihan ke jenama pesaing ini mungkin berterusan, terutamanya dalam kalangan pelanggan yang tidak begitu mementingkan soal jenama minuman, dan yang memilih untuk membeli minuman mereka tanpa menjamu di kedai.

"Hal ini juga akan menjejaskan rancangan pengembangan besar-besaran BFood untuk tahun kewangan 2024 dengan sasaran membuka 40 hingga 50 kedai," katanya.

Bank pelaburan itu mendedahkan risiko negatif terhadap perolehan konsensus dengan pendapatan tahun kewangan 2024 sejumlah RM88 juta dilihat optimistik, memandangkan perolehan suku pertama tahun kewangan 2024 sebanyak RM19.3 juta, keadaan di mana ia tidak terkesan akibat boikot atau merangkumi 22 peratus daripada ramalan itu.

"Oleh itu, pihak konsensus mungkin tidak menjangka operasi Starbucks Coffee akan terjejas teruk sebegini, malah gerakan boikot dilihat mendapat sokongan yang meluas daripada pengguna.

"Hal ini bertentangan dengan pihak konsensus yang meramalkan boikot ini berlangsung hanya buat seketika, maka penjualan saham terhad," katanya.

Justeru, RHB Investment Bank menukar saranan saham BFood kepada JUAL dengan jangkaan untung bersih tahun kewangan 2024 hingga 2026 masing-masing susut 21 peratus, 17 peratus dan 7.0 peratus.

"Jangkaan ini dibuat selepas menurunkan pertumbuhan jualan dan andaian GPM bagi mencerminkan jualan lebih rendah, peningkatan usaha promosi dan usaha untuk menangani kesan selepas tamatnya boikot.

"Dengan ini, harga sasaran (TP) yang diperoleh melalui DCF jatuh kepada 46 sen, iaitu P/E CY24F 11x (daripada 15x), atau -1SD daripada purata.

"Hal ini berikutan kenaikan andaian premium risiko kami bagi mencerminkan risiko negatif terhadap perolehan. TP kami termasuk diskaun ESG 0 peratus, berdasarkan skor ESG BFood baharu 3.0 (daripada 3.2) kerana tiadanya pendedahan mengenai pelepasan gas rumah hijaunya," katanya.

Antara risiko positif utama kepada BFood ialah sentimen pengguna lebih kukuh dan margin lebih tinggi daripada jangkaan, kata RHB Investment Bank - BH

1 Comments

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

  1. Alamak janganla tutup, saya rindu nak minum caramel macchiato!

    ReplyDelete

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Previous Post Next Post