Gagal Patuh Notis Isytihar Harta, Isteri Daim Didakwa

 


KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 67, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.


Mengikut pertuduhan, Na'imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, lapan hartanah membabitkan Menara Ilham, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Cantoment Road, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Nai'mah hadir dengan memakai baju kurung hijau dan diiringi beberapa individu dipercayai peguamnya sebelum memasuki lobi mahkamah jam 8.30 pagi.

Na'imah kelihatan tenang ketika dirakam gambar dan video oleh puluhan pengamal media yang yang berkumpul sejak jam 8 pagi.


Pada 10 Januari lalu, Na'imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan rasuah terhadap Daim.

Ketika sidang media di pekarangan ibu pejabat berkenaan, Na'imah mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaan sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Beliau berkata disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baik Daim dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.


Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim.

Menara Ilham difahamkan mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen - BH

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post