Indeks Persepsi Rasuah: Inilah Yang Kita Mahu..

 


PETALING JAYA: Skor diperoleh Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat kepada 50 mata sekali gus meletakkan Malaysia di ranking ke-57 daripada 180 negara seluruh dunia.

Berbanding tahun sebelumnya, Malaysia hanya mencatatkan skor 47 mata dan berada di kedudukan 61 daripada 180 negara seluruh dunia dengan skor diperoleh merekodkan penurunan untuk tiga tahun berturut-turut.


Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, CPI 2023 menggunakan 13 tinjauan dan penilaian pakar bagi mengukur tahap persepsi rasuah sektor awam membabitkan 180 negara dan wilayah seluruh dunia.

Menurutnya, pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan skor diperoleh Malaysia antaranya disebabkan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mendakwa dua bekas Perdana Menteri dalam kes membabitkan rasuah.

“Sabitan bekas Perdana Menteri dalam kes rasuah membabitkan SRC International menunjukkan kebebasan kehakiman di Malaysia.

“Pada masa sama, turut berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan skor tersebut adalah kerana kedudukan Malaysia meningkat dalam Indeks Demokratik oleh Unit Perisikan Ekonomi pada tahun 2022.

“Selain itu, walaupun wujud ketidakstabilan politik, namun penyertaan pengundi lebih tinggi disebabkan oleh Undi 18 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga menyumbang kepada peningkatan skor tersebut,” katanya ketika mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 di sini hari ini.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan, Malaysia berada pada kedudukan kedua antara sembilan negara ASEAN di belakang Singapura yang memperoleh skor 83 mata.

Malaysia juga berada pada tangga ke-4 terbaik antara negara Islam lain dengan kedudukan teratas masih dipegang oleh Emeriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Arab Saudi.


Mengulas lanjut, Muhammad berkata, terdapat beberapa indikator positif selepas Kerajaan Perpaduan berjaya ditubuhkan yang memberi persepsi baik kepada CPI negara antaranya arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki tatakelola urus tadbir negara.

“Siasatan terhadap kekayaan bekas ahli politik yang tidak didedahkan dan penetapan sasaran skor CPI kebangsaan dalam 10 tahun akan datang untuk mencapai kedudukan ke-25 di peringkat global.

“Ia secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa Malaysia serius untuk menangani isu-isu rasuah di negara,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, semua pihak tidak boleh terlalu taksub dengan kenaikan skor sebanyak tiga mata yang diperoleh negara berbanding tahun sebelumnya kerana terdapat beberapa isu berkaitan persepsi rasuah yang masih membelenggu Malaysia.

“Sebagai contoh, kenyataan Peguam Negara baru-baru ini bahawa proses memulakan atau menghentikan pertuduhan adalah budi bicara pendkawaan. Ia boleh disalah tafsir dan menjejaskan skor Malaysia pada masa depan memandangkan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) sebelum ini melibatkan Timbalan Perdana Menteri.

“Pada masa sama, kerajaan dilihat tidak berkongsi tentang bagaiman Malaysia mahu mencapai sasaran pada kedudukan ke-25 di peringkat global 10 tahun lagi. Tanpa rancangan jelas, kita mungkin akan kecewa seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post