Kes Batu Puteh: Kabinet Tubuh RCI Kaji Pengendalian

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini memutuskan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), yang mana cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.


"Cadangan ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, perundangan, dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang membabitkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan," katanya yang juga Setiausaha Jemaah Menteri dalam kenyataan, hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura.

Disember tahun lalu, Anwar meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun, mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.


Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Idrus pada Januari 2023, memaklumkan kerajaan berpendapat tindakan menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.

Katanya, keputusan kerajaan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari 2023, susulan Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Pasukan Petugas Khas) yang dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri - BH

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post