PADU : 'Tangguh Pendaftaran Hingga Isu Teknikal Diperbetul' - Kian Ming

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menangguhkan proses pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga beberapa beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, mendakwa langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU, termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.

"Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, melalui platform sosial X mengatakan data yang disatukan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan tidak dipaparkan kerana kebimbangan keselamatan dan kemungkinan penggodaman.

"Tetapi pengguna perlu mengisi lagi maklumat terbabit dan bagaimana data itu tidak sama dengan apa yang terdapat dalam pangkalan data PADU dan bagaimana sistem berkenaan maklumat lain berkaitan pendapatan sewaan tanah atau aset?

"Selain itu terlalu banyak ruangan perlu diisi, pasti meningkatkan kebarangkalian pengguna tidak mengisi maklumat dengan tepat bagi membolehkan mereka terus layak menikmati subsidi kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sistem PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data menerusi portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Kian Ming berkata, tujuan pangkalan data PADU bertujuan melancarkan lebih banyak subsidi bersasar, termasuk penarikan subsidi petrol tidak disasarkan untuk diletakkan melalui mekanisme subsidi bersasar.

"Malangnya, pangkalan data PADU sedia ada tidak mungkin mencapai objektifnya, berikutan ada penerima bantuan kerajaan seperti Bantuan Tunai Rahmah (BTR) tetapi tidak layak menerima kerana mempunyai pendapatan bukan cukai lain seperti pendapatan sewa rumah dan memiliki tanah. Ia kerana mereka tidak akan mengisi maklumat tepat dalam sistem PADU.

"Selain itu, ada isu keselamatan utama dengan pendaftaran PADU di mana jika anda mempunyai nombor kad pengenalan (IC) dan poskod yang dikaitkan dengan alamat IC pengguna, sesiapa saja boleh mendaftar untuk akaun PADU individu itu, tanpa perlu melalui Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital (e-KYC)," katanya.

Katanya, beliau menguji pendaftaran PADU bagi empat pemimpin DAP mengikut alamat IC dan poskod bagi pihak Hannah Yeoh, Steven Sim Chee Keong, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching.

"Kesemua pendaftaran akaun PADU untuk mereka tanpa melalui pengesahan e-KYC. Saya juga boleh menukar beberapa butiran untuk kelayakan akademik dan pekerjaan Hannah tanpa perlu melalui pengesahan e-KYC tanpa pengetahuan beliau," katanya.

Justeru katanya, kerajaan wajar menangguhkan pendaftaran PADU selain mengambil masa untuk membuat pengujian sistem sebelum ia dilancarkan semula.

"Pengguna yang sudah mendaftar tetapi belum menjalani pengesahan e-KYC perlu diminta membuat pendaftaran semula selepas isu keselamatan diselesaikan.

"Selain itu, ruang maklumat perlu dikurangkan, sebaik ciri keselamatan dimasukkan, data yang boleh diambil daripada agensi dan kementerian lain perlu diisi terlebih dahulu.

"Pengguna juga perlu mempunyai mekanisme di mana mereka boleh membuat laporan sekiranya maklumat yang diberikan tidak tepat," katanya.

Katanya, pakar teknologi maklumat (IT) dan keselamatan siber perlu menyediakan input nilai tambah yang boleh digunakan untuk menambah baik reka bentuk sistem PADU.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggota Kabinet diharap tidak melihat isu itu sebagai langkah untuk melemahkan pentadbiran mereka.

"Ini kerana dalam mengetengahkan kepincangan sistem PADU ini, saya berharap ia dapat diperbetulkan secepat mungkin sebelum sidang Parlimen akan datang supaya parti pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) tidak berpeluang menjadikannya sebagai modal perdebatan politik.

"Saya berharap kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya dan saya berharap tindakan saya mendedahkan kelompangan sistem pendaftaran PADU akan diambil perhatian," katanya - BH

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment

Komen anda tanggungjawab anda...dan sebarang komen yang tidak relevan dengan tajuk akan didelete...

Atas permintaan komen-komen yang menggunakan nama orang lain juga akan di delete.. harap maklum!!

Post a Comment (0)

Previous Post Next Post